Lelaki Rohingya didakwa lambung bayi hingga maut

Spread the love

LELAKI Rohingya yang melambung sepupu perempuannya berusia dua tahun sehingga maut akibat terkena kipas siling di sebuah rumah di Tasek Tambahan, bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Hairul Amin Harul Rushid, 24, warga Myanmar selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Ini berikutan tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu ketika prosiding pendakwaan dilakukan di hadapan di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes itu dan jurubahasa Myanmar hadir bagi membacakan semula pertuduhan dihadapi tertuduh.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa bertindak secara cuai ke atas mangsa, Sahena Bibi Rahim Ullah yang berusia dua tahun sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian dahi dan meninggal dunia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang dapur sebuah rumah di Taman Sri Raya, Tasek Tambahan, Ampang, jam 10 malam pada 16 Jun lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa Myanmar memandangkan tertuduh tidak faham pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.