Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membiayai kos perubatan remaja lelaki itu, Abdul Azim Mohd. Rohazar, 14, yang menetap di Perumahan Awam Bukit Siput, Segamat bersama-sama keluarganya.

Pada hari ini, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi Abdul Azim dan turut memberikan kata-kata semangat kepada remaja lelaki itu dan keluarganya.

Baginda turut menyampaikan sumbangan cek daripada Sultan Johor kepada ibu remaja itu, Junaidah Abdul Hamid, bagi pembiayaan kos rawatan serta perbelanjaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan yang dijangka bermula minggu ini.

Junaidah merupakan seorang suri rumah, manakala ayah Abdul Azim, Mohd. Rozahar Abd Latiff, merupakan pemandu lori dan pasangan itu turut mempunyai tiga lagi cahaya mata

Hadir sama, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datin Dr. Noor Azizah Abdul Latiff, Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh dan isteri, Ramlah Yaacob.

Permaisuri Johor meluangkan masa hampir sejam sebelum berangkat pulang.

Abdul Azim merupakan pelajar Tingkatan 2 SMK Dato’ Bentara Dalam, Segamat dan tidak dapat hadir ke sekolah sejak Januari lalu atas nasihat doktor. – UTUSAN ONLINE