Jual kek murah demi keberkatan

Spread the love

BUTTERWORTH, 4 Julai – Ketika orang lain menjual kek seberat 500 gram dengan harga bermula RM25 untuk setiap biji, seorang peniaga di sini menjual hanya RM10 sahaja kerana mahu berniaga sambil membuat amal jariah.

Wan Zaleha Wan Hasnan, 63, yang mempunyai kepakaran membuat kek sejak 35 tahun lepas berkata beliau memperkenalkan kek bajet itu sejak dua tahun lepas dan langsung tidak menjangka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Idea untuk menjual kek dengan harga RM10 itu tercetus kerana mak cik mahu mempelbagaikan lagi jenis kek dijual dan dalam masa sama mahu membantu orang ramai menikmati kek yang enak pada harga berpatutan,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya, di sini hari ini.

Beliau pada mulanya berniaga secara kecil-kecilan dari rumah sebelum membuka sebuah kedai kek dengan dibantu suami, anak lelaki serta menantu perempuannya berikutan mendapat sambutan selepas kek bajet tersebut menjadi tular di media sosial.

Beliau berkata setiap hari kedainya menghasilkan 200 biji kek bajet dan terdapat 14 jenis antaranya coklat indulgence, red valvet, oreo, tiramisu, mangga, snowy cheese, black forest serta butterscotch.

Wan Zaleha berkata kek bajet itu dimasak secara bakar sebelum disaluti dengan “fresh cream” dan ia sesuai untuk dimakan oleh empat hingga enam orang bagi sebiji kek berharga RM10 tersebut.

“Semua kek yang dihasilkan adalah kek berkelas elit dan menggunakan bahan-bahan berkualiti serta segar. Walaupun kek bajet tetapi rasanya setanding dengan kek lain dan itu diakui sendiri oleh pelanggan,” katanya.

Katanya beliau tidak kisah mendapat keuntungan yang sedikit asalkan pelanggan berpuas hati apabila membeli dan menikmati kek berkenaan.

“Saya percaya jika kita tidak terlalu berkira dengan pelanggan, Allah akan memberikan rezeki lebih kepada kita. Alhamdulilah, sehingga hari ini kami tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan, terutama musim perayaan sehingga 500 biji sehari,” katanya.

Beliau berkata ketika mula menjual kek bajet beliau terpaksa mengehadkan dua biji kek kepada setiap pelanggan sehingga ramai terpaksa menunggu giliran mendapatkan kek malah ada yang marah kerana tidak dapat membeli kek.

Katanya beliau juga bersyukur kerana kek bajet itu selain dijual di kedainya, ia turut dijual menerusi enam ejen serta empat stokis di Pulau Pinang dan Kedah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.