Penyebaran rakaman CCTV hotel bukti konspirasi jatuhkan Azmin – Hilman

Spread the love

Komplot pembikinan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai diambil dari sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bukti wujud konspirasi untuk menjatuhkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berdasarkan satu rakaman CCTV yang diedit itu, ia memaparkan pergerakan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Rashid dan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham, sebelum dimuat naik di laman Youtube, hari ini.

Individu yang memuat naik video itu menerusi akaun Youtube menggunakan nama Rahim Jaafar.

Hilman yang kini berada di Vienna, Austria berkata, penyebaran video berkenaan jelas menunjukkan wujud motif konspirasi untuk menjatuhkan kredibiliti dan imej Mohamed Azmin sebagai seorang menteri dan juga ahli politik disegani.

“Video CCTV yang didedahkan hanya membuktikan ada komplot politik untuk jatuhkan Azmin, sementara video asal dan CCTV yang didedahkan hanya menimbulkan lebih banyak keraguan.

“Malah tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini mengedit video berkenaan dilihat cuba mewujudkan persoalan kepada masyarakat, meskipun mereka gagal membuktikan itu adalah Azmin Ali,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, tindakan itu jelas membuktikan bahawa terdapat cubaan untuk menaikkan ‘seseorang’.

“Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan dan pihak tidak bertanggungjawab ini seolah-olah tidak sabar untuk terus menghukum Datuk Seri Azmin.

“Perkara ini adalah serius dan Datuk Seri Azmin juga sebelum ini sudah berkali-kali menafikan dia adalah individu dalam tiga siri video lucah hubungan sejenis yang tersebar sejak 11 Jun lalu.

Katanya, Azmin juga turut meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dalam menjalankan siasatan sehinggalah keputusannya diumumkan kelak.

“Sebaik Haziq mengakui dia adalah individu dalam rakaman video lucah berkenaan, ia membuktikan ada pihak tertentu di belakangnya berkomplot memfitnah untuk menjatuhkan Azmin,” katanya.

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.