MFL agih bayaran hak penyiaran

Spread the love

JOHOR BAHRU: Kegelisahan pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) mengenai kelewatan pembayaran hak penyiaran tertangguh musim ini akhirnya terjawab selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melangsaikannya dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mengesahkan pembayaran hak penyiaran kepada pasukan dalam kancah Liga M akan diagihkan pertengahan bulan ini dan bulan depan.

Katanya, MFL tidak pernah berdiam diri untuk berusaha memastikan pasukan-pasukan menikmati pembayaran hak penyiaran walaupun terpaksa berdepan pelbagai dugaan selepas penaja utama menarik diri.

“Sebagai permulaan kita akan membayar separuh daripada RM3 juta kepada pasukan yang bersaing di Liga Super dan separuh daripada RM1 juta kepada pasukan di Liga Perdana,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, semuanya adalah hasil usaha MFL di bawah pengerusinya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencetuskan idea memastikan kemasukan rakan kongsi baharu, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) menerusi penstrukturan semula hak penyiaran.

Dengan penstrukturan semula hak penyiaran yang secara rasmi akan bermula musim depan, Kevin menjelaskan ia dilihat sebagai satu anjakan paradigma yang bukan sahaja satu pembaharuan dalam industri bola sepak malah menjadi perintis kepada industri penyiaran oleh pengendali liga.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam (kiri) pada sidang media pengumuman hak penyiaran MFL, di Hotel Thistle, Johor Bahru. Hadir sama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan). – Foto Zain Ahmed

“Hari ini menjadi satu sejarah baharu apabila MFL bersama rakan kongsi, EVC mencetuskan satu revolusi industri bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Ia adalah cetusan idea Tunku Ismail yang mahu menyaksikan penyokong memainkan peranan penting menjana pendapatan pasukan. Malah beliau menaruh kepercayaan tinggi kepada penyokong untuk sama-sama memajukan Liga Malaysia.

“Kini, MFL bukan sahaja bertindak sebagai pengendali Liga M sebaliknya memainkan peranan sebagai penyiar rasmi bola sepak tempatan bersama EVC dalam memastikan liputan meluas bola sepak terus kepada penyokong,” katanya.

Beliau menambah, masa depan bola sepak negara berada di tangan peminat di mana peranan mereka diibaratkan sebagai pemegang taruh kepada kelab masing-masing dengan menjana kewangan pasukan apabila setiap duit dibayar untuk melanggan perkhidmatan ini akan terus masuk ke kantung setiap pasukan di Liga M.

“Jika penyokong mahu pasukan mereka memiliki kewangan kukuh dan memiliki pemain yang baik, mereka harus memainkan peranan kepada pasukan mereka,” ujarnya.

Beria Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.