Banjir: Dua sekolah di Melaka ditutup

Spread the love

Dua buah sekolah di Melaka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di daerah Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di Alor Gajah terpaksa ditutup akibat banjir kilat yang melanda negeri itu sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata, kedua-dua sekolah berkenaan ditutup mulai hari ini berikutan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir.

Katanya, sebanyak 1,236 murid dan 71 guru terjejas di SK Krubong, manakala di SK Belimbing Dalam pula membabitkan 484 murid serta 40 guru.

“Bagaimanapun, hanya murid sahaja yang dibenarkan untuk tidak ke sekolah, manakala guru yang tidak terlibat dengan bencana banjir diminta untuk hadir ke sekolah seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Bakar berkata, sebuah lagi sekolah di Alor Gajah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS dan menempatkan sebanyak 122 mangsa daripada 34 buah keluarga

Menurutnya, sekolah terbabit bagaimanapun tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, sehingga pukul 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,149 orang melibatkan 260 keluarga berbanding 745 orang mangsa daripada 150 keluarga pada sebelah petang. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.