Kami tak bimbang sokongan rakyat kepada PH, kata Dr M

Spread the love

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan yakin dengan sokongan orang Melayu terhadap gabungan 4 parti pemerintah itu, tetapi bimbang mengenai kesedaran kaum majoriti itu terhadap politik.

Pengerusi PH itu meminta semua pihak mempertimbangkan secara serius sebelum menubuhkan parti baru kerana Malaysia kini mempunyai 4 parti politik Melayu terbesar “kerana semua orang mahu menjadi perdana menteri”.

“Saya sudah jelaskan orang Melayu tidak tahu mengenai politik.

“Sudah ada 4 parti Melayu, cukuplah. Tidak perlulah sampai 20 parti Melayu dan semua hendak jadi presiden. Politik adalah perkara serius. Kita ada 4 parti Melayu terbesar, jangan buat lagi.”

“Jika orang Melayu ketinggalan bukan kerana saya atau parti, tetapi kerana mereka tidak mahu bersatu.

“Kami tidak bimbang sokongan Melayu untuk PH, tetapi parti Melayu lain tidak akan menyelesaikan masalah perpaduan Melayu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Jumaat lalu, Mahathir dilaporkan mempelawa parti politik Melayu lain untuk menyertai PPBM bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Katanya, penyatuan itu penting kerana Melayu kini berpecah kepada 6 parti.

Hari ini, Mahathir berkata, pemimpin PH menerima penjelasannya mengenai pelawaan kepada parti politik Melayu lain untuk menyertai PPBM.

Katanya, PH sendiri tidak boleh menerima penyertaan parti Melayu lain lagi kerana ia akan menyukarkan proses pembahagian kerusi ketika pilihan raya.

Beliau turut menasihatkan orang Melayu menyertai 4 parti Melayu terbesar di negara ini kerana perpecahan akan berlaku jika terlalu banyak parti politik ditubuhkan.

Perdana menteri berkata, PH akan mengkaji pembabitan penjawat awam dalam parti politik dan keputusan mengenainya akan diumumkan kelak.

“Penjawat awam adalah tugas yang profesional. Apabila terikat dengan parti politik, mereka tidak boleh lakukan kerja mereka secara neutral. Kita masih tidak buat sebarang keputusan.”

Sementara itu, Anwar Ibrahim ketika ditanya sama ada beliau akan meneruskan dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Mahathir selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-8, presiden PKR itu berkata, beliau hanya ahli PH, manakala Mahathir ialah pengerusi gabungan itu.

Mahathir berseloroh semua ahli PH perlu mematuhi arahan pucuk pimpinan gabungan 4 parti itu atau mereka akan “dibelasah”.

Waktu pertanyaan PM di Parlimen

Mahathir berkata, beliau akan ke Dewan Rakyat setiap Rabu untuk menjawab soalan ahli Parlimen.

Pada 3 Julai lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, waktu pertanyaan PM dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.