Kerjasama UMNO, Pas Mampu Rampas Lebih 30 kerusi Parlimen. – Ahmad Maslan

Spread the love

Kerjasama UMNO dan Pas diyakini mampu menawan Putrajaya memandangkan lebih 30 kerusi Parlimen dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu mampu ditawan semula gabungan berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau yakin lebih banyak kerusi Parlimen termasuk DUN mampu dimenangi UMNO dan Pas pada PRU15 sekiranya kerjasama serta penyatuan dua parti besar kaum Melayu ini terbentuk.

Malah, katanya, kerajaan PH ketika ini terlalu banyak membuat pusingan U mengenai janji manifesto PRU14 hingga membuatkan rakyat terutama golongan muda meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan.

“Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih misalnya membuktikan PH terlalu banyak membuat pusingan U.

“Jika sebelum ini (PRU14), saluran peti undi anak muda kebanyakannya kita kalah, namun PRK Semenyih, saluran ini kita hanya kalah satu peti undi sahaja,” katanya pada sidang media selepas Jamuan dan Ceramah Perpaduan Ummah Sabak Bernam di Markas Pas Batu 1, Tebuk Pulai di sini malam tadi.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO dan Pas tidak perlu menyertai Bersatu sepertimana disyorkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apa yang disarankan perdana menteri tidak logik kerana kerusi yang mampu ditawan UMNO dan Pas sudah memadai tanpa mengira undi Bersatu,” katanya.

Justeru tegasnya, kerjasama politik antara UMNO dan Pas amat penting dan berusaha memastikan kerjasama itu sentiasa berterusan.

“Saya yakin kepimpinan kedua-dua parti sentiasa memikirkan kerjasama ini,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/36415/BERITA/Politik/Kerjasama-UMNO-Pas-mampu-rampas-lebih-30-kerusi-Parlimen-Ahmad-Maslan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.