Bursa Malaysia ditutup RENDAH

Spread the love

Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan penurunan dalam sektor produk dan perkhidmatan perindustrian serta produk dan perkhidmatan pengguna apabila pelabur mengambil untung susulan kenaikan hampir ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan pada Selasa minggu lepas.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.89 mata untuk ditutup kepada 1,677.64 berbanding paras penutup 1,682.53 pada Jumaat.

Indeks itu bergerak antara paras 1,672.88 dan 1,679.65 sepanjang hari dagangan.

Rakan Pengurusan Vanguard Markets Pte. Ltd, Stephen Innes berkata, keadaan pasaran ekuiti Asia dilihat sebagai tidak menentu, tetapi penjualan yang berlaku di keseluruhan serantau adalah terkawal.

“Selepas pengumuman data senarai gaji Amerika Syarikat (bagi Jun) yang kukuh, terdapat kebimbangan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell akan menangani beberapa pengurangan kadar Fed secara agresif, dan ini juga memberi impak yang ketara kepada pelabur,” katanya.

Pada sesi penutup, keadaan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 568 berbanding 267, manakala 381 kaunter kekal tidak berubah, 631 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun lima sen kepada RM8.92, Public Bank jatuh dua sen kepada RM22.98, Petronas Dagangan berkurangan enam sen kepada RM25.54 dan Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.60.

Bagaimanapun, Tenaga meningkat 22 sen kepada RM13.82.

Dalam kalangan kaunter cergas, Ekovest turun 6.5 sen kepada 80.5 sen, Iskandar Waterfront susut lapan sen kepada RM1.00 dan Sumatec Resources jatuh satu sen kepada 2.5 sen, manakala KNM Group dan Sapura Energy tidak berubah masing-masing pada 31.5 sen dan 30 sen.

Sementara itu, peruncit produk Mothercare, Kim Hin Joo (M) Bhd. yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE hari ini turun lapan sen untuk ditutup kepada 35 sen dengan 35.38 juta saham diurusniagakan selepas dibuka empat sen lebih rendah daripada harga tawaran 43 sen.

FBM 70 berkurangan 58.6 mata kepada 14,831.34, Indeks FBMT 100 turun 37 mata kepada 11,704.42 dan FBM Ace susut 78.25 mata kepada 4,582.16.

Indeks FBM Emas turun 37.88 mata kepada 11,867.41 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 40.44 mata kepada 12,233.9.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.47 mata kepada 162.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 41.94 mata kepada 16,756.66 dan Indeks Perladangan jatuh 31.96 mata kepada 6,945.17.

Jumlah dagangan turun kepada 2.12 bilion unit bernilai RM1.68 bilion berbanding 2.57 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.37 bilion saham bernilai RM1.5 bilion daripada 1.69 bilion saham bernilai RM1.63 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 431.59 juta unit bernilai RM98.02 juta berbanding 372.91 juta unit daripada RM80.95 juta pada Jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 313.91 juta saham bernilai RM75.61 juta berbanding 510.87 juta saham bernilai RM111.19 juta pada akhir minggu lepas.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 231.93 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (149.17 juta), pembinaan (230.5 juta), teknologi (93.25 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.28 juta), hartanah (165.07 juta), perladangan (8.42 juta), REIT (15.98 juta), dana tertutup (3,100), tenaga (318.67 juta), penjagaan kesihatan (18.65 juta), telekomunikasi dan media (61.98 juta), pengangkutan dan logistik (33.18 juta) dan utiliti (15.16 juta). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.