Sambil mengakui baru sahaja dimaklumkan mengenai perkara berkenaan, Dzulkefly memberitahu pelantikan Rania Zara Medina untuk mewakili golongan transgender dalam CCM Malaysia akan dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat kementerian.

“Saya baru dimaklumkan mengenai perkara ini dan akan mendapatkan maklumat lanjut. Isu ini akan dibawa ke mesyuarat pasca Kabinet peringkat Kementerian Kesihatan untuk dibincangkan dan diberikan penjelasan mengenainya,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan dilaporkan telah melantik Rania sebagai ahli CCM melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.

Surat pelantikan yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye itu telah dikongsikan Rania dalam laman Facebook miliknya semalam sehingga mendapat perhatian warga maya.

Rania yang merupakan pemenang ikon Transwomen Malaysia 2017/2018 akan mewakili Malaysia sebagai ahli CCM untuk mendapatkan dana daripada GlobalFund iaitu sebuah badan kewangan antarabangsa yang komited melaburkan dana untuk menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkulosis dan Malaria. – UTUSAN ONLINE