Pengendali laman web haram komik manga diberkas di Filipina

Spread the love

MANILA: Seorang lelaki yang mengendalikan koleksi komik manga dalam talian secara haram, berjaya diberkas di sini, pada Ahad lalu.

Komik manga dalam talian, iaitu Manga Mura, yang dikendalikan oleh Romi Hoshino, 28, mendapat tontonan kira-kira 100 juta pembaca setiap bulan.

Namun, Manga Mura yang bermaksud ‘Kampung Manga’ sudah dihentikan operasinya pada April tahun lalu, apabila Kerajaan Jepun melancarkan operasi memburu pengasas laman web itu, kerana melanggar peraturan hak cipta.

Laman web itu memuat naik kira-kira 60,000 manga, iaitu komik atau novel grafik Jepun, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memilikinya secara percuma, sebaik sahaja ia diterbitkan.

Berikutan itu, Persatuan Pengedaran Kandungan Luar Negara Jepun, berkata penerbit novel manga terpaksa menanggung kerugian kira-kira 320 bilion (RM12.19 bilion), iaitu jangkaan pendapatan dalam tempoh enam bulan sehingga Februari tahun lalu.

“Ia adalah satu jumlah yang besar dan Manga Mura adalah isu yang sangat besar bagi pengarang manga.

“Justeru, Kerajaan Jepun sudah menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap Manga Mura,” kata seorang pegawai kumpulan anti-cetak rompak Jepun kepada AFP.

Sementara itu, pesuruhjaya imigresen Filipina, Jaime Morente dalam satu kenyataan berkata, Hoshino yang memiliki pasport Jepun, ditahan di Manila pada Ahad lalu, selepas Kedutaan Jepun meminta bantuan untuk mengesan beliau.

“Kehadiran beliau (Hoshino) di negara ini, menjejaskan keselamatan orang awam.

“Beliau mungkin akan dihantar pulang ke Jepun,” kata Morente. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.