Wan Ji sepatutnya dihukum maksimum penjara tiga tahun

Spread the love

Hukuman satu tahun penjara yang dijatuhkan ke atas Wan Ji Wan Hussin amat ringan berbanding kesalahan dilakukannya, kata Naib Presiden penaja Parti Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Kata beliau, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukannya, penceramah bebas itu sepatutnya dihukum maksimum penjara tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Sehubungan itu, jelasnya, Putra menyambut baik ketegasan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji atas kesalahan menghasut untuk menimbulkan kebencian terhadap Sultan Selangor serta menghukumnya dengan pemenjaraan selama satu tahun.

“Sebaik sahaja keputusan diumumkan, ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Syahredzan Johan mengkritik keputusan tersebut sebagai terlalu keras dan melampau.

“Asas kritikan itu dilihat tidak berlandaskan fakta, melainkan mereka memainkan sentimen politik kerana Wan Ji adalah aktivis agama dalam PH dan juga atas naratif janji kerajaan itu untuk memansuhkan Akta Hasutan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara satu tahun ke atas Wan Ji atas kesalahan menghasut dan menghina Institusi Raja-Raja menerusi laman sosial.

Hukuman yang berkuatkuasa semalam itu ditambah tiga bulan lagi dari sembilan bulan penjara yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Mohd Khairul Azam kemudian menelusuri sejarah kenyataan keras Wan Ji sejak 2010 yang dalam ceramah dan rangkaian media sosialnya terang-terangan menghasut rakyat membenci raja dan sultan.

“Penceramah bebas itu juga turut membuat perancangan untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti dan video perancangan beliau itu boleh ditonton menerusi https://youtu.be/qWwVVlAuZ9c.

Katanya, dalam kertas pertuduhan, Wan Ji didakwa telah mengeluarkan kata-kata terhadap Sultan Selangor khasnya dan terhadap sultan lain umumnya melalui laman Facebook beliau pada kira-kira 10 pagi 8 November 2012

Antara kata-kata kesat Wan Ji kepada sultan dan Raja-raja Melayu:

“Jenis syaitan tak baca hadis Nabi…”

“Bahana bodoh agama tapi nak jadi ketua agama…”

“Perasan bagus, tapi bodoh agama…”

“Buang je Sultan-Sultan ni…”

“Perabis duit rakyat…”

“Si syaitan ni buat projek pembodohan…”

“Bila orang bodoh, dia akan berkuasa…”

“Firaun moden…”

“Nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi Sultan…”

“Kalau di Malaysia, yang buat kerja (pembodohan) ni adalah UMNO dan Sultan…”

Ujarnya, Putra percaya sebelum menjatuhkan hukuman, hakim telah mempertimbangkan faktor mens rea (niat) beliau ketika memuatnaik kenyataan menghasut itu yang konsisten dengan perancangannya untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 nanti.

Putra mendesak Pejabat Peguam Negara membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan agar hukuman itu dinaikkan kepada penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.

Ini katanya, bagi memberikan pengajaran bukan sahaja kepada Wan Ji, tetapi sesiapa sahaja yang berkecenderungan melakukan jenayah menghasut seperti dalam Seksyen 3 Akta Hasutan 1948. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.