Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, keputusan untuk membatalkan seminar itu dibuat oleh penganjur dan bukannya atas nasihat atau bantahan daripada pihak polis.

“Komen yang berbunyi ‘kita bomb tempat nie’ dibuat oleh seorang pemilik akaun dengan nama Amirol Md. Zain pada satu laman Facebook Gerakan Banteras Syia pada Sabtu lalu.

“Ia dihantar menerusi pautan https://www.facebook.com/419467972238567/posts/452657315586299/,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, satu laporan polis telah dibuat oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof. Madya Mohamed Azam Mohamed Adil semalam.

Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Seminar yang dijadualkan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof itu adalah bagi mempromosikan Mesej Amman iaitu satu deklarasi yang dimeterai pada tahun 2004 bagi menggalakkan pemahaman dalam pemikiran Islam. – K! ONLINE