Tajudin berjaya batal saman Pua, Loke

Spread the love

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk membatalkan saman fitnah Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Saman berkenaan adalah berhubung ucapan Tajuddin yang mendakwa DAP cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Peguam Farhan Haziq Mohamad yang mewakili Pua dan Loke ketika ditemui pemberita berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati kenyataan Tajuddin tidak memfitnah dua pemimpin politik.

Menurut beliau, mahkamah berpendapat plaintif tidak menyatakan dalam pernyataan tuntutan bahawa defendan menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu.

Tajuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 8 Mei lalu atas alasan kata-kata yang diajukannya tidak merujuk kepada jawatan atau profesion yang dijawat oleh plaintif ketika tohmahan lisan itu dibuat.

Pua yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Loke yang merupakan Ahli Parlimen Seremban memfailkan saman itu terhadap Tajuddin pada 20 Mac lalu berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lalu.

Kedua-dua plaintif berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka merupakan penganut Kristian yang bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Ucapan defendan kemudian dilaporkan di laman web berita Malaysiakini pada hari yang sama ucapan itu dibuat dengan tajuk “Tajuddin fires ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign” dikongsikan sebanyak 9,400 kali di alam maya dan dibaca oleh orang awam secara meluas.

Dalam penyataan tuntutan, Loke dan Pua mendakwa kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan Ahli Parlimen sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

Mereka mendakwa perkataan-perkataan yang diungkapkan defendan adalah satu ucapan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi mereka dalam bidang politik termasuk parti politik yang dianggotai mereka apatah lagi ucapan itu diungkapkan kepada umum semasa kempen pilihan raya kecil itu. – UTUSAN ONLINE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.