Lelaki bunuh rakan ke tali gantung

Spread the love

KUALA TERENGGANU: Seorang duda anak tiga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana membunuh rakan sekampungnya dengan melanggar lelaki terbabit, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh, Azami Mohamad, 45, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kanun Keseksaan) kerana membunuh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa membunuh Rohadi Zakaria, 49, di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, jam 6 petang pada 2 Oktober 2014.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Tertuduh didakwa cuba membunuh dengan melanggar Zakaria Taib, 48, menggunakan Proton Gen 2 di alamat, waktu dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut didakwa membuat laporan palsu di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Permaisuri, Setiu jam 6.29 petang pada 2 Oktober 2014.

Dalam laporan itu, tertuduh mendakwa ditahan dua mangsa menggunakan parang dan terlanggar mangsa ketika cuba mengelak.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah masing-masing menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 2 Oktober 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli

Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Harshaan Zamani.

Akhbar melaporkan seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas dilanggar seorang lelaki dikenali gara-gara perselisihan faham mengenai penjualan lembu.

Sebelum kejadian itu, dua mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek di sebuah kedai kopi.

Ketika dalam perjalanan pulang, suspek bertindak mengejar dan melanggar dua mangsa menggunakan kereta.

Rempuhan itu menyebabkan dua mangsa terpelanting ke tengah jalan dan suspek bergerak ke depan dengan membuat pusingan U sebelum sekali lagi merempuh dua mangsa dan terus melarikan diri.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.