Nazri boleh jadi penasihat BN, tapi sanggupkah dia kritik PH, soal Najib

Spread the love

PETALING JAYA: Najib Razak menafikan dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang pelantikannya sebagai penasihat Barisan Nasional ialah batu loncatan untuk beliau kembali menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau dilantik untuk memperkukuhkan BN dan parti komponennya.

Katanya, sesiapa saja boleh memainkan peranan penasihat BN, tetapi individu itu perlu sanggup mengkritik Pakatan Harapan secara konsisten dan turut mendapat sokongan MCA serta MIC.

“Nazri Aziz atau sesiapa saja memang boleh main peranan sebagai penasihat BN, tetapi adakah beliau sanggup kritik kerajaan PH secara konsisten?

“Kita juga sedia maklum beliau sebelum ini diminta oleh MCA dan MIC melepaskan jawatan dia sebagai setiausaha agung BN,” katanya dipetik Sinar Harian ketika menghadiri Program Santai Petang Bersama Bossku di Batu Kawan, hari ini.

Terdahulu, Nazri membantah pelantikan Najib sebagai penasihat BN dengan alasan ahli Parlimen Pekan itu sudah diberikan 2 peluang untuk mengetuai Umno dan BN, tetapi beliau gagal.

Beliau juga bimbang pelantikan Najib akan menjejaskan kerjasama Umno-PAS.

Najib berkata, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sendiri menjelaskan pelantikannya sebagai penasihat BN tidak akan menjejaskan kerjasama 2 parti itu.

Katanya, Nazri pernah menolak kerjasama dengan PAS dan menggesa Umno mengetepikan MCA serta MIC dan bekerjasama dengan DAP.

“MCA sebelum ini memaklumkan kepada saya antara sebab undi Cina merosot kerana kritikan keterlaluan beliau terhadap Robert Kuok sehingga menyebabkan orang Cina tersinggung dengan apa yang dilakukan beliau.”

Beliau berkata, keutamaannya sekarang ialah memperkukuhkan BN dan parti komponennya, serta menggesa pihak yang berminat untuk memberi sumbangan kepada parti itu.

“Inilah semangat yang perlu kita ada, daripada kita mengkritik satu sama lain secara terbuka, kita cari jalan bagaimana bekerjasama antara satu sama lain boleh mengukuhkan lagi parti kita.”

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.