Pengurus, pemandu didenda pukul pengusaha kilang

Spread the love

SUNGAI PETANI: Seorang pengurus dan pemandu kilang masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang pengusaha kilang, awal bulan lalu.

Majistret Arif Mohamad Shariff turut memerintahkan tertuduh Lee Lye Seng, 49, dan R Arasakumaran, 44, membayar pampasan RM1,000 setiap seorang kepada mangsa yang berusia 51 tahun.

Mengikut pertuduhan, pada 2 Julai lalu kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Kejadian pada jam 4.15 petang itu berlaku di dalam pejabat sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Sungai Petani, di sini.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sebelum ini BH melaporkan, seorang lelaki cedera dipukul tiga lelaki yang berang selepas dia mendedahkan kegiatan operasi haram sebuah kilang kitar semula di Kawasan Perusahaan Sungai Petani.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun yang juga pengusaha kilang plastik dikatakan dipukul di dalam pejabat kilang kitar semula itu yang terletak berhadapan kilangnya.

Menurut sumber, mangsa dikatakan dipelawa ke kilang kitar semula itu untuk berkenalan dengan pihak atasan kilang oleh seorang lelaki, namun mangsa menolak pelawaan berkenaan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.