Pikat penyokong tanggungjawab pasukan – TMJ

Spread the love

KUALA LUMPUR: Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tugas ‘memikat’ penyokong untuk hadir ke stadium adalah tanggungjawab pasukan bertanding, bukannya dipikul oleh badan pentadbir liga atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata.

Justeru, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menggesa semua persatuan negeri dan kelab lebih bijak mencari pendekatan terbaik dalam usaha membina hubungan lebih erat antara pasukan dengan penyokong.

“(Menarik penyokong ke stadium adalah tugas) pasukan masing-masing. Hubungan antara kelab dan penyokong bukan tanggungjawab MFL atau FAM.

“Itu adalah tanggungjawab pasukan bertanding dan bagaimana cara anda berhubung untuk membuatkan penyokong anda terasa mereka juga terbabit dalam projek itu,” kata TMJ.

BH Sukan menerusi satu laporan khas pada Mei lalu melaporkan jumlah penyokong Liga Malaysia (Liga M) ke stadium dalam keadaan kritikal yang menyaksikan ruangan tempat duduk penonton lebih banyak kosong.

Antara faktor yang dikatakan penyebab berlakunya situasi itu termasuk tahap kewangan penyokong dan kemudahan siaran langsung yang mana peminat bola sepak tempatan hanya boleh menyaksikan perlawanan secara atas talian menerusi telefon pintar.

Dalam perkembangan sama, TMJ mengharapkan kelab akan lebih berdikari dalam usaha mencari pendapatan dengan mendapatkan penaja selain hanya mengharapkan kehadiran penyokong ke stadium.

Lebih tepat, beliau mahu melihat pasukan Liga M tidak perlu bergantung lagi kepada kerajaan negeri bagi meneruskan kestabilan kelab itu sendiri.

“Ada beberapa keperluan yang perlu kita patuhi daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia). Jadi saya rasa itu terpulang pengurusan kelab masing-masing bagaimana mahu menangani situasi berkenaan.

“Mereka seharusnya diswastakan dan bukan lagi mengharapkan (bantuan) daripada kerajaan kerana duit kerajaan itu adalah duit rakyat,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.