5 lelaki mengaku tidak bersalah tuduhan halang tugas polis pada PRK Rantau

Spread the love

SEREMBAN: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menghalang tugas polis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, April lalu.

S Vigane Swaren, 52; S Mangaswaran, 37; S Sivakumar, 37; M Arun, 25, dan A Yeohvan Louis, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang tugas Sarjan Yusof Md Medak dari menjalankan fungsi jawatannya dengan membuat pemeriksaan pada bonet kenderaan pelbagai guna (MPV) polis.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Rantau di sini, jam 6 petang pada 13 April lalu.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua bulan atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menghalang Sarjan Yusof Md Medak dari menjalankan tugas eskot peti undi di lokasi, jam dan tarikh yang sama.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad.

Peguam Haresh Mahadevan mewakili Vigane Swaren, Mangaswaran dan Sivakumar, manakala V K Indran mewakili Arun dan Yeohvan Louis.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.