Ketika ini Mane masih lagi bersama skuad kebangsaan Senegal selepas layak ke Piala Negara-Negara Afrika bertemu Algeria, Jumaat ini manakala Liverpool sudah pun memulakan jelajah pra musim.

Penyerang itu diberikan masa untuk berehat sebelum menyertai rakan sepasukannya bagaimanapun dia mempunyai masa selama dua minggu sebelum aksi menentang Manchester City dalama Piala Perisai pada 4 Ogos ini.

Klopp memberitahu aksi tersebut terlalu awal untuk dia menurunkan Mane dan masih belum membuat keputusan untuk menentukan skuad utamanya bagi menghadapi aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Norwich pada 9 Ogos lalu.

“Dengan Sadio, kami perlu melihat keadaannya selepas final – bagaimana perasaannya dan perkara lain.

“Pastinya sukar. 16 hari sebelum kami menentang City, kami perlu membuat keputusan namun masih belum menemui jawapan,” kata Klopp.

Klopp turut mengesahkan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Alisson Becker akan menyertai kempen pra musim mereka di Evian lewat.

Trio tersebut diberikan masa rehat tambahan selepas masing-masing beraksi dalam kejohanan utama dengan Firmino dan Alisson menjuarai Copa America bersama Brazil manalaka Salah mewakili Mesir dalam Piala Negara-Negara Afrika. – AGENSI