Asmara sejenis dalam politik erotika

Spread the love

oleh Ismail Hashim Yahaya

ULASAN | Kisah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang meminta presiden PKR dan ahli parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim supaya cermin dirinya terlebih dahulu sebelum memperkatakan mengenai video semburit seolah-olah merupakan kemuncak kepada isu ini.

Apakah Azmin sudah naik angin atau marah tidaklah dipastikan, tetapi ia menjadi perkara yang sensitif bagi beliau.

Namun presiden PKR menafikan bahawa beliau melihat timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai ancaman yang bakal mengahalangnya daripada menjadi perdana menteri.

Malah, beliau menegaskan katanya, mempunyai sokongan ahli parlimen PKR, Pakatan Harapan dan restu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

“Jadi apa isunya?” soalnya kepada pemberita ketika ditanya sama ada sarannya meminta Azmin meletak jawatan sekiranya video seks yang dikaitkan dengan dirinya terbukti sahih berkaitan dengan perebutan jawatan perdana menteri.

“Biar ini jelas… ahli parlimen bersama saya. Pendirian Harapan kekal tidak ada perubahan (tentang siapa yang bakal jadi perdana menteri seterusnya). PM dan saya bermesyuarat setiap minggu.

“… Saya ada jumlahnya (MP yang mencukupi), saya mendapat sokongan Harapan dan PM. Jadi tidak adil bagi saya atau Azmin untuk menyatakan sebaliknya,” katanya.

Bahkan Anwar Ibrahim pula berjenaka dengan berkata beliau telah melihat wajahnya di cermin pada hari ini sebagai maklum balas terhadap kenyataan Azmin.

Kata Anwar, timbalan presiden PKR itu mungkin menggesanya supaya “muhasabah” diri tanpa membaca kenyataan penuh beliau sebelum ini.

“Saya sudah tengok cermin pagi tadi,” kata MP Port Dickson bersambut tawa dirinya dan para pemberita di lobi parlimen.

Anwar menjelaskan beliau tidak terkejut dan kecewa dengan kenyataan menteri itu.

“Saya tak rasa perlu untuk terkejut berkenaan hal itu tetapi saya fikir beliau patut membaca teks penuh dan konteksnya.

“Barangkali perlu baca teks penuh dan tidak melenting, tidak merasa terganggu,” katanya lagi.

Bagi menghangatkan bedilan kata-kata dalam isu semburit ini, masuk pula si Khalid Jaafar, seorang penasihat Azmin dengan tidak berselindung menggesa Anwar agar bersara daripada politik.

Pak Khalid menggunakan permainan dam ular sebagai contoh.

“Anwar hanya tinggal dua mata untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya di mata terakhir sebelum di garis penamat, dia ditelan ular.

“Maka jatuhlah semula ke garisan permulaan. Umur sudah lanjut, perjalanan kembali jauh.

“Seeloknya Anwar Ibrahim bersara sajalah daripada politik,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Khalid yang pernah menjadi ketua pegawai strategi dan penyelidikan Pejabat Menteri Besar Selangor ketika Azmin mengetuai pentadbiran negeri itu, turut membangkitkan kata pepatah bahasa Inggeris:

“Mereka yang tinggal dalam rumah kaca jangan melempar batu pada orang lain”.

“Begitulah kata orang bijak bestari. Anwar seperti lupa kata-kata ini. Apatah lagi budak-budaknya, mereka mungkin tidak pernah mendengarnya,” katanya lagi.

Namun tengok cermin atau tidak, hangat atau tidak, isu asmara sejenis seolah-olah mencapai kemuncaknya apabila Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan video intim Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri adalah tulen.

Bagaimanapun katanya, pihak Cybersecurity tidak dapat memastikan seratus peratus pelaku dalam video berkenaan yang tular sebelum ini.

“Jawapan yang kami terima, mereka kata tulen. Tapi mereka tak dapat sahkan seratus peratus siapa pelaku-pelaku dalam tu (video).

“Saya selaku ketua polis negara tidak boleh memandai-mandai… perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan.

“Saya harap orang ramai khususnya faham tentang kekangan tanggungjawab saya sebagai ketua polis negara,” katanya dalam satu rancangan televisyen terbitan RTM.

Maka secara amnya di dalam politik erotika (yang dilihat ialah keerakahan dan nafsu agung di sebalik asmara sejenis atau skadkal seks umpamanya) yang dikuasai oleh hawa nafsu raya ketimbang politik kebajikan, maka aksi seks sejenis (sama ada rekaan atau betul) dalam politik erotika tidak lebih dari sebuah tindakan dalam penghambaan diri bagi pelepasan hawa nafsu.

Felix Guattari adalah salah seorang dari banyak pemikir pascamoden kontemporeri dari Peranchis melihat bahawa kini tidak ada lagi perjuangan politik yang dapat hidup tanpa menghambakan dirinya pada pembebasan hawa nafsu. Maksudnya segala macam strategi boleh dilakukan tanpa memikirkan dosa atau pahala bagi cubaan menjatuhkan seseorang.

Lenyaplah dimensi rahsia

Politik erotika akan menjungkirbalikkan (dekonstruksi) norma-norma dan moraliti yang mengatur (membatasi) hawa nafsu ialah dengan melepaskan belenggu dan membiarkan hidupnya dalam keanekaragaman bentuk seksual dan erotika, (lesbian, homoseksual dan masokisme), sehingga lenyaplah perbezaan antara normal dan abnormal; membuka selubung diri selebar-lebarnya sehingga lenyaplah dimensi rahsia.

Dalam hal ini membiarkan modal (capital) mengalir sebebas-bebasnya, sehingga lenyaplah nilai guna dalam perjuangan politik seumpamnya menghanyutkan diri sedalam-dalamnya dalam ghairah menagatru siapa yang hendak menggantikan Mahathir misalnya, pengwajahan baharu dan tontonan erotika sehingga lenyaplah batas antara realiti dan fantasi, maka inilah budaya politik erotika.

Budaya politik erotika inilah yang membawa kepada perpecahan sebuah parti yang memiliki kerusi parlimen terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) dan akan menjawat kerusi PM selepas Dr Mahathir.

Inilah pergelutaan sebenar dalam isu semburit yang menyentuh politik nafsu melampau iaitu menggunakan strategi erotika. Dan ia terlihat kepada kenyataan-kenyataan yang dilemparkan di lebuh raya maklumat bahawa si Azmin adalah calon PM pahadal bakal PM sudah ada.

Politik erotika ini yang mencapai titik ekstrimnya akan semakin mempersempit ruang bagi perenungan, pengabdian, dan pencerahan spiritual. Ini kerana politik dikelilingi oleh hasrat dan percaturan untuk berkuasa.

Dengan terbuka lebarnya belenggu hawa nafsu, pusat gravitasi politik negara kini telah digantikan oleh apa yang disebutnya politik libido, perkembang-biakan dan naturalisasi hawa nafsu.

Isunya ialah PKR dan asmara sejenis, sesiapa perancangnya ingin melihat perpecahan berlaku dalam PKR antara dua kem, kem bakal PM dan kem calon PM (melalui berita yang dilemparkan)

Dalam politik libido segalanya adalah normal, segalanya tanpa rahsia, segala adalah nyata, tanpa selindung seperti pengakuan.

Adakah sisi seksual ini menjadi tema utama yang dihidangkan secara vivid? Atau pun sisi itu digunakan sebagai alat untuk menjemput pembaca berinteraksi secara aktif dalam garapan sensual aksi.

Erotika berusaha untuk menggambarkan suatu perbuatan fizikal yang intim dalam kata-kata yang dapat mengandungi segala lapis-lapis perasaan fisiologi dan emosi.

Isu asmara sejenis ini juga membuka langkah ke arah politik erotika bagi sipendiam yang sentiasa mengatur langkah membiarkan semut menghurung madu, memporakperandakan sesebuah parti dan menyusun strategi bagi penampilan seorang pemimpin lain yang tidak disangka utnuk menggantikan perdana menteri yang sedang kepenatan.

Asmara sejenis dalam politik erotika adalah permainan hasrat atau nafsu yang mencantas beberapa individu daripada tampil ke persada gamelan politik tanah air.

Apa yang pasti isu semburit dalam politik erotika mempunyai dua kemungkinan, pertama ingin mengenepikan sebarang halangan dalam proses peralihan kuasa dan kemungkinan kedua, ingin menangguhkan proses peralihan kuasa.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)
Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.