Suspek ragut dibelasah orang awam

Spread the love

KUALA LUMPUR 19 Julai – Seorang lelaki dibelasah orang awam selepas ditangkap kerana meragut beg tangan seorang wanita di sebuah kedai makan di Jalan Song, Kuching, Sarawak, semalam.

Menurut sumber kepada portal Utusan Borneo, insiden berlaku sekitar pukul 9 pagi apabila suspek yang berusia 25 tahun itu bertindak meragut beg tangan seorang wanita yang diletakkan di atas meja makan.

Ujarnya, suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal, namun berjaya dihalang orang awam.

“Suspek cuba melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menunggang motosikalnya melawan arus sebelum berlanggar dengan sebuah kereta menyebabkan dia terjatuh.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian segera menangkap suspek,” katanya.

Difahamkan, suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut sumber, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa ragut iaitu seorang wanita berusia 29 tahun.

“Mangsa semasa kejadian sedang makan bersama kakaknya di kedai tersebut apabila didatangi suspek yang terus meragut beg tangannya,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani semasa dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kami memuji tindakan orang awam yang berjaya menangkap suspek dalam kes ini, bagaimanapun orang ramai jangan sampai mengadili kesalahan suspek di jalanan.

“Kekerasan minimum boleh digunakan untuk memastikan suspek selamat ditangkap seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Video memaparkan kejadian tersebut juga tular di media sosial yang menunjukkan saat suspek meragut beg sehingga dia dibelasah orang awam ketika cuba melarikan diri.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.