DEMI TIKET, 16 JAM PENYOKONG KEDAH MENUNGGU DEPAN STADIUM

Spread the love

Sekumpulan penyokong Lang Merah sanggup datang awal dan beratur di hadapan kaunter tiket Stadium Darul Aman seawal jam 6 petang semalam untuk membeli tiket final Piala FA 2019 yang hanya mula dijual jam 10.30 pagi ini.

Tinjauan Sukan Sinar kira-kira jam 12 tengah malam tadi mendapati ada sebahagian mereka turut membawa kotak sebagai alas tidur walaupun hujan masih turun.

Mohd Nazmi Salim, 20 dari Pendang berkata, dia tidak mahu terlepas peluang untuk mendapatkan tiket dan nekad untuk tidur di stadium walaupun hujan lebat bermula kira-kira jam 8 malam.

“Saya mai awal ke stadium ini sebab semangat. Bawa kelengkapan siap-siap seperti ‘power bank’ dan baju ganti dari Tobiar, Pendang sebelum datang ke sini.

“Pengalaman sebelum ini membeli tiket final dalam tempoh kira-kira sejam mesti tiket akan habis sebab itu saya buat keputusan untuk datang bermalam di sini,” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan besar Kedah 5-1 kepada Felda United pada aksi terakhir Liga Super 2019 sebelum ini, Mohd Nazmi berkata ia tidak memudarkan semangatnya untuk tetap hadir memberikan sokongan padu kepada Lang Merah di Bukit Jalil Sabtu ini.

Seorang lagi penyokong dari Gurun, Mohd Nidzam Azahar Sabri, 25 berkata, dia tidak pernah ketinggalan membeli tiket setiap kali Kedah berjaya melayakkan diri ke pentas final.

“Saya datang ke stadium dalam jam 6 petang dan memang tidak bawa apa-apa kelengkapan sebab dah biasa.

“Biasanya jam 7 atau 8 malam sudah ramai yang beratur sebelum ini namun pada malam ini tidak ramai mungkin sebab hujan,” katanya.

Pemenang Piala FA 2019 di antara Kedah dan Perak akan mendapat slot plaf off Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 manakala satu lagi slot kumpulan dari Malaysia sudah sah menjadi milik juara Liga Super 2019, JDT.

WTN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.