PSG tetap ‘heret’ Neymar ke China

Spread the love

PARIS: Neymar tetap menyertai Paris-Saint Germain (PSG) dalam siri jelajah pra-musim di China, umum kelab itu, semalam ketika spekulasi membabitkan masa depan bintang sensasi Brazil itu masih hangat diperkatakan.

Penyerang berusia 27 tahun itu, yang memberi petunjuk tidak gembira di Perancis berulang kali dikaitkan dengan perpindahan ke bekas kelabnya, Barcelona malah gagal muncul ketika latihan pra-musim, 8 Julai lalu.

Sekali pun mendakwa sudah mendapat persetujuan PSG, kelab itu mengancam untuk mengambil ‘tindakan sewajarnya’ terhadap pemain termahal dunia itu dengan keputusannya kekal lebih lama di Brazil adalah bagi menunjukkan komitmen terhadap yayasan miliknya.

Neymar, yang menyertai PSG pada 2017 dengan nilai 222 juta euro (RM1.4 bilion) menyertai semula rakan sepasukannya seminggu kemudian pada 15 Julai.

Selain gagal tiba seperti dijadualkan, Neymar turut menambah berang kelabnya apabila menyatakan memori terbaiknya dalam bola sepak adalah ketiga Barca menewaskan PSG dalam kempen Liga Juara-Juara pada 2017 dan turut memaparkan gambar di laman sosial memakai jersi juara Sepanyol itu.

Neymar ketika ini sedang menjalani proses pemulihan susulan kecederaan buku lali yang menghalangnya daripada beraksi di Copa America tetapi PSG tetap menyenaraikannya dalam skuad ke China.

“Latihan fizikal harian akan diteruskan dan pemulihan serta integrasi bersama pasukan yang dijadualkan menjalani latihan di China,” kata PSG yang turut menambah imbasan x-ray terhadap kecederaan itu menunjukkan “kemajuan yang amat normal dengan peningkatan yang amat baik.”

PSG dijangka tiba di Shenzhen, China, hari ini dan akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang Inter Milan di Macau pada Sabtu dan Sydney FC di Suzhou pada 30 Julai.

Perlawanan kompetitif kelab itu pada musim ini adalah menentang Rennes pada 3 Ogos di Shenzhen dalam aksi Trofi Juara-Juara, perlawanan yang tradisinya menjadi pembuka tirai bagi Liga Perancis. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.