Keluarga dakwa anak mati ketika direman di Penjara Sg Petani

Spread the love

Seorang individu berumur 21 tahun di Sungai Petani, Kedah didakwa mati dalam tahanan akibat dipukul berulang kali oleh warden penjara.

Dalam kenyataan kepada media, Ahli majlis Seberang Perai, David Marshel berkata, Gopal Krisnan Rajalinggam meninggal dunia di Hospital Sungai Petani jam 2.30 petang semalam selepas menerima rawatan untuk penyakit yang tidak diketahui sejak minggu lepas.

“Setiap minggu ketika ibu dan teman wanitanya (tunang) melawatnya di penjara, Gopal memberitahu mereka warden penjara sering memukulnya,” kata David, yang merupakan presiden NGO Malaysia Tamilar Kural.

“Gopal direman di Sungai Petani selepas dia ditangkap di Pulau Pinang kerana kesalahan dadah pada 12 Mei, dan ditahan reman sementara menunggu sebutan kesnya,” tambah David.
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzly Abu Shah mengesahkan menerima laporan tunang Gopal, Navamallika Tan Sze Lin mengenai perkara itu.

Adzly berkata dia akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu pada jam 3 petang hari ini.

Asmawati Ahmad, yang merupakan ketua komunikasi korporat PDRM, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai “kematian mengejut”.

Malaysiakini sudah menghubungi pengarah jabatan penjara Zulkifli Omar, dan sedang menunggu jawapannya.

Menurut keluarga mendiang, Gopal tidak sedarkan diri di hospital dan terdapat luka di tangannya sementara bahagian tubuhnya bengkak.

Dia tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum penahanannya, tambah David.

“Tetapi doktor memberitahu keluarga dia mempunyai jangkitan paru-paru tetapi dia tidak pernah bangun dan akhirnya mati semalam,” kata David.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda semalam, Tan, 20, berkata beliau melawat Gopal pada 4 Jun bersama ibunya.

“Gopal memberitahu kami dia dipukul oleh warden penjara, dia menangis ketika dia menceritakan bagaimana dia dipukul di kepala. Dia memberitahu warden dia demam dan muntah,” katanya.

“Tetapi warden tidak mempercayainya, kata Gopal, dan menyuruhnya baring di atas jalan berturap,” katanya.

Rabu lepas, ibu Gopal diberitahu oleh dua orang pegawai polis bahawa anaknya telah dimasukkan ke hospital.Apabila dia melawat di hospital, Gopal mengalami kecederaan di tangannya dan kepalanya bengkak, kata Tan.

Keluarga mendiang memutuskan untuk tidak menuntut mayat mendiang sehingga bedah siasat sewajarnya dilakukan, kata Tan.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.