Beijing arah tulisan Arab, simbol orang Islam dibuang

Spread the love

Pihak berkuasa di ibu negara China mengarahkan restoran dan gerai halal membuang tulisan Arab dan simbol berkaitan Islam daripada papan tanda mereka, sebahagian daripada usaha nasional untuk mencinakan penduduk yang beragama Islam.

Para pekerja di 11 restoran dan kedai di Beijing yang menjual produk halal dan dilawati Reuters baru-baru ini memaklumkan penguatkuasa meminta mereka membuang gambar-gambar yang berkaitan Islam, seperti bulan sabit dan perkataan “halal” dalam tulisan Arab daripada papan tanda.

Kakitangan kerajaan dari pelbagai cawangan meminta seorang pengurus kedai mee di Beijing supaya menutup “halal” dalam tulisan Arab pada papan tanda kedainya dan kemudian menyaksikan dia melakukannya.

“Mereka kata ini budaya asing dan kamu patut guna lebih banyak budaya Cina,” kata pengurus itu, yang seperti pemilik dan pekerja restoran yang bercakap kepada Reuters, enggan memberikan namanya kerana sensitiviti isu itu.

Kempen terhadap tulisan Arab dan gambar-gambar berkaitan Islam menandakan fasa baru dalam usaha yang semakin rancak sejak 2016, dalam usaha memastikan agama sesuai dengan budaya Cina.

Kempen itu termasuk membuang kubah-kubah gaya Timur Tengah pada masjid-masjid di serata negara itu dan menggantikannya dengan pagoda gaya Cina.

China, yang mempunyai kira-kira 20 juta orang Islam, secara rasmi menjamin kebebasan beragama tetapi kerajaan berkempen untuk penganutnya mengikut fahaman parti komunis.

Bukan orang Islam sahaja yang diperhatikan. Pihak berkuasa menutup banyak gereja-gereja Kristian bawah tanah, dan membuang salib-salib beberapa gereja yang disifatkan haram.

Tetapi orang Islam mendapat perhatian khusus sejak rusuhan pada 2009 antara kebanyakannya orang Uighur yang beragama Islam dan orang Cina majoriti di wilayah Xinjiang, negeri kaum Uighur minoriti.

Keganasan etnik meletus menyusuli peristiwa itu, dan beberapa orang Uighur, yang tidak berpuas hati dengan kawalan kerajaan, melancarkan serangan pisau dan bom di tempat awam dan terhadap polis dan pihak berkuasa lain.

China kemudian melancarkan apa yang didakwa pembanterasan terorisme di Xinjiang.

Sekarang, negara itu berdepan kritikan hebat daripada Barat dan kumpulan hak asasi berkenaan dasar-dasarnya, terutama penahanan dan pengawasan besar-besaran orang Uighur dan orang-orang Islam lain di sana.

Kerajaan berkata tindakannya di Xinjiang perlu bagi membanteras ekstremisme agama. Pegawai-pegawai kerajaan memberi amaran terhadap Islamisasi, dan meluaskan kawalan ke atas masyarakat Islam minoriti lain.

‘Normal baru’

Para peganalisis berkata parti komunis khuatir pengaruh asing akan menyebabkan kumpulan-kumpulan agama sukar dikawal.

“Bahasa Arab dilihat sebagai bahasa asing dan pengetahuan bahasa itu sekarang dianggap sebagai sesuatu yang diluar kawalan pemerintah,” kata Darren Byler, seorang ahli antropologi di Universiti Washington yang mengkaji Xinjiang.

“Ia juga dilihat berkaitan dengan kewarakan, atau di mata pihak berkuasa, ekstremisme agama. Mereka mahu Islam di China beroperasi menerusi bahasa Cina terutamanya,” katanya.

Kelly Hammond, seorang pembantu profesor di Universiti Arkansas yang mengkaji masyarakat Hui yang beragama Islam di China, berkata langkah-langkah itu sebahagian daripada “usaha untuk mencipta normal baru”.

Beijing mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 restoran dan makan halal, menurut aplikasi penghantaran makanan Meituan Dianping, yang tersebar di kawasan penempatan orang Islam yang bersejarah di bandar itu dan kawasan kejiranan lain.

Belum jelas adakah semua restoran seperti itu di Beijing diarah menutup tulisan Arab dan lambang-lambang Islam. Seorang pengurus di sebuah restoran yang masih memaparkan tulisan Arab berkata dia diarah untuk membuangnya tetapi sedang menunggu papan tanda baru.

Beberapa kedai-kedai besar yang dikunjungi Reuters menggantikan tanda mereka dengan istilah halal dalam bahasa Cina – “qing zhen” – sementara kedai-kedai lain sekadar menutup tulisan Arab dan gambar-gambar berkaitan Islam dengan pita atau pelekat.

Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama Beijing enggan mengulas, mengatakan arahan berkenaan restoran halal itu arahan nasional.

Suruhanjaya Hal Ehwal Etnik Nasional tidak menjawab permohonan mendapatkan ulasan.

Walaupun kebanyakan pekedai yang ditemui Reuters berkata mereka tidak kisah menukar papan tanda, ada yang mengatakan ia mengelirukan pelanggan mereka dan seorang pekerja di kedai penyembelihan halal menuduh pihak berkuasa “memadamkan” budaya orang Islam.

“Mereka selalu bercakap tentang perpaduan nasional, mereka selalu bercakap tentang China yang antarabangsa. Adakah ini perpaduan nasional?”

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.