INI PENDERAAN MENTAL – ALYAH

Spread the love

Hampir 19 tahun berada dalam industri seni tempatan, penyanyi Datin Alyah mengaku bahawa situasi dunia hiburan yang dikuasai oleh media sosial sangat menakutkan.

Adakalanya, setiap kritikan dan komen yang dilemparkan netizen terlalu lancang dan membuatkannya terfikir, mampukah terus bertahan ketika dikelilingi masyarakat yang semakin mudah menghukum orang sesuka hati.

Menerusi lagu terbaharunya, Meluruh, wanita bernama Noor Hasliah Abu Hassan itu mencurahkan rasa yang sudah lama bersarang dalam hatinya.

Setiap bait larik dan susunan lagu hasil ciptaannya bersama Slen Fadzil dan Helen Yap tersebut menggambarkan perasaan Alyah terhadap pandangan ‘penduduk siber’ yang tidak sudah-sudah mahu mencari kesalahan dalam hidupnya.

“Saya datang dari dunia seni yang bukan seperti sekarang. Dahulu, jika ada yang mengata atau mengutuk, saya mungkin tidak tahu, tetapi sekarang, mereka boleh datang menyerang saya bila-bila masa sahaja menerusi media sosial.

“Itu situasi yang menakutkan seolah-olah privasi saya dirobek-robek begitu sahaja. Saya sedar, sebagai seorang artis, saya perlu bersedia untuk ditegur tetapi apa yang berlaku sekarang bukan teguran tetapi penderaan mental,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video Meluruh di TGV One Utama, baru-baru ini.

Tiada kaitan

Ada masanya juga, penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Hati itu tidak memahami, apakah sebenarnya yang dimahukan oleh netizen, sedangkan selama ini dia cuma menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penyanyi.

Sebagai contoh, setiap kali melancarkan lagu baharu, pasti ada sahaja yang membuat andaian dan mengaitkan lagu tersebut dengan kehidupan rumah tangganya bersama pengarah muzik, Datuk Ramli MS.

“Jika saya buat lagu sedih, orang pasti akan menganggap saya tidak bahagia dengan suami. Andai saya cipta lagu yang berbunga-bunga, orang menuduh saya terlalu menunjukkan kebahagiaan pula.

“Terseksa mental saya apabila baca komen sebegitu. Cukup-cukuplah buat andaian sendiri, lebih baik hayati sahaja setiap karya tanpa sebarang niat tidak baik dalam hati,” pintanya sambil menyeka air mata daripada jatuh ke pipi.

Alyah turut bertegas, Meluruh mengingatkan dirinya tentang kepayahan untuk berada pada kedudukan sekarang dan betapa banyak kesukaran yang perlu dilalui sepanjang kariernya.

“Zaman saya dahulu bukan senang mahu jadi artis, banyak dugaannya. Sekarang, apabila saya mempunyai tapak sendiri dalam industri, ramai yang mahu melihat saya jatuh termasuk mereka yang dekat dengan saya.

“Apabila saya menyanyikan lagu ini, hati saya berasa sayu dan tidak dapat menahan sebak teringatkan semua itu,” jelasnya.

Setahun

Menyelami ke lapisan peribadinya, Alyah diajak bercerita tentang hasrat membuat rawatan kesuburan persenyawaan In-Vitro (IVF) bagi mendapatkan zuriat. Katanya, hasrat tersebut mungkin perlu ditangguhkan buat seketika.

Biarpun masih berminat meneruskan rawatan tersebut, namun Alyah harus mendahulukan komitmen kerjaya seni untuk tempoh setahun dari sekarang.

“Memandangkan tahun hadapan genap 20 tahun saya dalam industri jadi saya mengimpikan sebuah konsert solo dan secara tidak langsung, agenda itu akan menuntut masa serta fokus saya.

“Mungkin selepas selesai hal seni, barulah saya akan membuat rawatan IVF kerana apabila saya bersetuju melakukannya, saya perlu berehat lama dan tidak boleh keluar bekerja,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Alyah tidak menolak dan sentiasa berdoa agar rezeki anak hadir lebih cepat meskipun tanpa bantuan IVF.

Menuju usia 20 tahun sebagai seorang penyanyi, Alyah mengakui takut berdepan petala dunia media sosial yang tiada batasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.