MARTABAT HOKI KE PENTAS DUNIA

Spread the love

MESKIPUN bola sepak dan polo merupakan sukan paling digemari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun Seri Paduka Baginda turut memberikan 100 peratus perhatian memartabatkan arena hoki negara ke persada antarabangsa.

Legenda hoki tanah air, Mirnawan Nawawi berkongsi kisah kejayaan dan cetusan idea sepanjang Seri Paduka Baginda menggalas jawatan selaku Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dari 1 November 2008 hingga 13 Mei 2015.

“Baginda sememangnya memberikan komitmen 100 peratus kepada sukan hoki dengan beberapa pembaharuan dilakukan. Antaranya mewujudkan jawatan Pe­ngurus Besar dan penubuhan Skuad Projek 2013 termasuk saya dilantik sebagai pengurus pasukan remaja.

“Skuad Projek 2013 berjaya menjuarai Piala Sultan Johor (SOJC) 2011, merangkul trofi Piala Remaja 2012 dan meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013 selain buat kali pertama dalam sejarah hoki memenangi pingat perak Sukan Asia 2010.

“Baginda juga melantik Paul Revington sebagai ke­tua jurulatih skuad senior dan menyaksikan Malaysia layak pada Piala Dunia 2014 selepas kali terakhir pada 2002,” kata Mirnawan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Mirnawan, an­tara cetusan idea Seri Paduka Baginda dalam arena hoki ialah penubuhan 1MAS, mewujudkan skim insentif kemenangan buat para pemain serta penganjuran SOJC yang buat pertama kali pada tahun 2011 dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

“Baginda amat memen­tingkan pembangunan sukan hoki dari akar umbi, sebab itu penubuhan 1MAS tercetus selain sai­ngan SOJC yang mendapat pengiktirafan daripada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) buat pasukan-pasukan jemputan antarabangsa bawah 21 tahun.

“Antara legasi yang masih diteruskan ialah skim wang kemenangan kerana baginda amat menghargai ke­sungguhan dan kejayaan pemain dalam kejohanan antarabangsa,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.