Geng Ford Ranger, Jai Kancil, Suria Volkswagen tumpas

Spread the love

TIGA geng curi kenderaan yang aktif di sekitar Shah Alam berjaya ditumpaskan susulan Ops Lejang yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bermula Januari hingga Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, geng terbabit termasuklah Geng Ford Ranger, Geng Jai Kancil dan Geng Suria Volkswagen yang dipercayai aktif melakukan jenayah itu, dua tahun lalu.

Katanya, dengan penahanan semua ahli geng berkenaan, pihaknya percaya dapat menyelesaikan sebilangan besar kes kehilangan kenderaan yang dilaporkan.

SEBAHAGIAN daripada motosikal yang berjaya dirampas menerusi Ops Lejang. FOTO Sairien Nafis.
“Selain tiga geng utama itu, polis juga menahan 81 individu berusia 17 hingga 34 tahun yang dipercayai mencuri kenderaan secara solo.

“Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan tiga daripada mereka juga dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya pada sidang media Ops Lejang Khas, hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, menerusi operasi itu, pihaknya berjaya menemui semula 12 kereta pelbagai model, 25 motosikal dan lima rangka motosikal serta sebuah lori.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kenderaan dicuri bukan hanya untuk dijual sebaliknya, komponennya dilerai untuk dijual di pasaran gelap.

“Sebuah motosikal dianggarkan dijual antara RM200 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis selain turut dijual di luar Lembah Klang.

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan diletakkan di parkir awam seperti di pusat beli-belah selain kawasan kediaman bertingkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 255 kes hilang kenderaan dilaporkan mulai Januari hingga Julai lalu, dan jumlah itu menurun 39.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkak 478 kes.

“Sehubungan itu, polis akan mempergiatkan usaha termasuk rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan bagi mengelakkan berlakunya kes curi kenderaan,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.