Peranti letupan tidak lengkap ditemui

Spread the love

KUALA LUMPUR: Satu objek peranti letupan (IED) ditemui di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, di sini, kira-kira jam 5 petang tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata IED belum lengkap berfungsi itu ditemui oleh orang awam yang memaklumkan mengenainya kira-kira jam 10 malam tadi.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) membuat pemeriksaan ke atas objek berkenaan dan ia disahkan IED yang tidak sempurna.

“Polis masih menjalankan siasatan terhadap objek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Selain penemuan itu, dua lagi lokasi iaitu hab pengangkutan ibu negara, KL Sentral dan Kedutaan Russia di Jalan Ampang, turut menerima ancaman bom yang dimuat naik menerusi dua ciapan menerusi akaun Twitter.

Akaun menggunakan nama ‘iMais – Uma Agencia Sincera @agenciaimais’ itu bagaimanapun didakwa digodam oleh ‘limzhengyan’ berdasarkan keterangan tertera di profil.

Mazlan berkata, dakwaan ancaman bom di KL Sentral dan Kedutaan Russia dihantar menerusi akaun Twitter berkenaan pada jam 7.21 malam.

“Susulan maklumat itu, polis memanggil UPB dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membuat pemeriksaan sekitar KL Sentral dan Kedutaan Russia.

“Tiada objek mencurigakan ditemui setakat malam ini dan maklumat diberikan dipercayai palsu,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya giat mengesan pemilik akaun Twitter terbabit dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Keadaan di kedua-dua lokasi adalah tenang dan terkawal manakala orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan IPK KL di talian 03-21159999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields di talian 03-22979268,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.