Perjumpaan bersama PM adalah perkara biasa, bukan unik – Hishammuddin

Spread the love

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan perjumpaan beliau dan sekumpulan wakil rakyat pembangkang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang unik.

Beliau berkata, apa yang pentingnya perjumpaan itu bertujuan memikirkan masa hadapan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi dan perpaduan.

“Tiada sebab pihak pembangkang tidak boleh berjumpa dengan pemimpin kerajaan.

“Dalam keadaan sebegitu, elak daripada sensasikan sesuatu isu kerana ia hanya akan menimbulkan spekulasi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sembrong yang dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, hari ini.

Hishammuddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong, berkata beliau sememangnya tidak melayan sebarang provokasi, spekulasi dan konspirasi sejak dari dahulu kerana ia sesuatu yang tidak berkesudahan.

“Saya percaya, pemimpin ni, bila sampai masanya, kalau ada apa-apa hendak umum, kita umumkanlah. Jangan mengizinkan pihak tertentu mewujudkan provokasi dan jangan ada tuduhan konspirasi. Kerana bagi pihak saya, apa jua perjumpaan yang saya hadir adalah untuk kebaikan tanahair dan rakyat.

“Kalau itu pegangan kita, tiada siapa boleh menidakkan keinginan kita melihat ke depan secara konstruktif,” kata Hishammuddin.

Semalam, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, dilaporkan mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang dari UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah bertemu beliau pada Selasa lepas.

“Mereka datang hendak jumpa saya, saya jumpalah mereka, saya dengar apa yang hendak mereka katakan. Ya, ramai daripada mereka menyatakan sokongan kepada saya, terima kasih banyak-banyak,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata sokongan untuk beliau mengekalkan jawatan bukan perkara baharu kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah bercakap mengenainya sepanjang masa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.