Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Spread the love

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan mata wang negara maju itu kekal kukuh disokong kenyataan Rizab Persekutuan di samping kebimbangan mengenai kemelut perdagangan AS-China yang berlarutan.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1500/1530 daripada 4.1440/1470 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, wujud kebimbangan baharu mengenai pertikaian perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu berikutan kenyataan Presiden AS Donald Trump di Twitter bahawa beliau akan mengenakan tambahan tarif 10 peratus ke atas import China bernilai AS$300 bilion pada 1 September.

“Ini menjadikan ringgit akan terus lemah berbanding dolar AS. Pelabur juga tidak berminat mengambil risiko sekali gus keadaan ini akan berpanjangan kerana pengenaan kadar tarif tambahan ke atas China akan menaikkan kos perniagaan dan berpotensi menjejaskan momentum pertumbuhan global,” katanya kepada Bernama.

Keseluruhannya, ringgit juga didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0184/0210 daripada 3.0134 / 0167 pada Khamis dan susut berbanding euro kepada 4.6015/6065 daripada 4.5741/5779.

Mata wang tempatan rendah berbanding yen kepada 3.8734/8773 daripada 3.7984/8021 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.0327/0380 daripada 5.0126/0179.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.