GENG CURI SKUTER ELEKTRIK TUMPAS

Spread the love

Kegiatan sekumpulan penjenayah yang terlibat mencuri skuter elektrik berjaya ditumpaskan susulan penahanan sembilan lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di ibu negara pada 30 Julai lalu.

Kegiatan itu mula terbongkar apabila pekerja syarikat skuter itu terserempak dengan salah seorang suspek yang menjualnya dengan harga lebih murah di pasar karat di Jalan Sultan, di sini pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, lelaki terbabit kemudian ditahan dan satu unit skuter elektrik yang dipamerkan di gerainya itu turut dirampas.

Katanya, soal siasat kemudian membawa tangkapan dua lagi lelaki dengan rampasan 14 unit skuter di sebuah premis besi buruk di Kepong, Kuala Lumpur.

“Bertindak atas maklumat, enam lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu kemudian turut ditahan di sekitar Lembah Klang.

“Semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, kumpulan yang terdiri daripada suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun itu memecah masuk syarikat terbabit pada 28 Julai lalu sebelum mencuri 15 unit skuter yang bernilai kira-kira RM19,000 atau RM1,300 bagi setiap unit.

Beliau berkata, suspek kemudian menjual semula skuter tersebut dengan harga RM150.

Menurutnya, suspek pertama telah dituduh di mahkamah pada Jumaat lalu manakala lapan lagi suspek akan dituduh minggu ini.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379 dan 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.