MCA: Kekalkan pendedahan khat, tapi cadangan baru kerajaan kurang berkesan

Spread the love

MCA mahu pendedahan murid sekolah aliran kepada seni tulisan Jawi atau khat Jawi, serta Tamil dan Cina, menerusi buku teks bahasa Melayu sedia ada dikekalkan, tapi mempersoalkan keberkesanan pengajarannya dalam cadangan baru kerajaan.

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata khat lebih wajar dimasukkan sebagai komponen seni atau aktiviti ko-kurikulum, atau diperkenalkan kelas elektif atau subjek pilihan.

“Bukan dengan cara mewajibkan penguasaan seni khat demi mempelajari simpulan bahasa, pepatah dan peribahasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kenapa tidak belajar terus dalam bahasa Melayu? Itulah perkara asasnya! Kalau ramai rakan-rakan Melayu saya pun kurang arif membaca tulis Jawi, apatah lagi pelajar SJKC yang hanya berusia 10 tahun dan perlu menguasai 3 bahasa sekaligus?”

Wee berkata demikian selepas tersebarnya tangkap layar tajuk-tajuk berita bahasa Cina yang menggambarkan bantahan MCA susulan kontroversi memperkenalkan pengenalan kepada khat Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah-sekolah aliran.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyalahkan sebuah akhbar Cina kerana memburukkan lagi ketakutan masyarakat.

Wee hari ini berkata DAP tidak patut menyasarkan partinya selepas bantahan terhadap rancangan kerajaan itu timbul sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum ini saya tidak masuk campur dalam kontroversi ini sehinggalah Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Lim Kit Siang menuduh kononnya MCA yang meluluskan silibus baru mempelajari seni khat mulai 2020.”

Wee berkata jangan salah anggap MCA mahu seni tulisan dihapuskan daripada silibus lama.

“Apa yang dibincangkan adalah cadangan baru yang bakal dilaksanakan mulai 2020 di bawah kerajaan PH,” katanya.

Keputusan kerajaan memperkenalkan pengenalan kepada khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah-sekolah aliran mengundang bantahan daripada golongan pendidik berkaitan, selain mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli DAP.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta ia tidak dijadikan kontroversi kerana pengenalan khat bertujuan menerapkan nilai warisan dan identiti.

Setiausaha Agung Harry Tan berkata murid diperkenalkan kepada khat Jawi, Cina dan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah dilaksanakan bagi murid Tahun 1 pada 2011, dan dalam buku teks bahasa Melayu Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan pada 2015.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pengenalan khat di sekolah-sekolah aliran akan diteruskan kerana hanya minoriti kecil yang membantah.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.