Penarikan skim bantuan penanaman semula tambah derita pekebun kecil

Spread the love

Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan skim bantuan penanaman semula aktiviti penanaman sawit dalam kalangan pekebun kecil dianggap menambah lagi derita golongan tersebut yang kini dihimpit harga komoditi itu yang sedang merudum.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, berita itu sudah pastinya disambut dengan kesedihan oleh warga pekebun kecil.

Katanya, kerajaan seharusnya memahami bahawa bantuan yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) itu, bukanlah bersifat tahunan tetapi sebaliknya melibatkan pokok-pokok yang sudah berusia.

“Ini sebagai menghargai keringat dan sumbangan pekebun kecil kepada ekonomi negara di samping mengekalkan Malaysia sebagai salah sebuah pengeluar sawit dunia.

“‘Roh’ bantuan ini diberi untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang semata-mata bergantung mata pencarian pada tanaman sawit berskala kecil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini atas alasan kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.

Menurut Jamil Khir, pada tahun lepas, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM140 juta untuk pekebun kecil kelapa sawit dan RM200 juta bagi pekebun getah.

Justeru beliau berharap kerajaan membatalkan keputusan itu dan mengembalikan bantuan berkenaan bagi membantu meringankan beban golongan terlibat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.