Rafidah bantah kaedah pengenalan tulisan Jawi di sekolah rendah – laporan

Spread the love

Bekas ahli Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan tidak setuju dengan kaedah pelaksanaan pembelajaran seni khat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah yang dijadualkan bermula tahun depan.

Ketika berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, beliau dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh memaksa semua murid untuk belajar seni khat tulisan itu.

“Apabila anda paksa semua orang untuk buat kaligrafi, saya akan jadi orang pertama yang gagal (kaligrafi). Saya cabar anda, anda akan gagal kaligrafi.

“Seperti hal lain, artisitk ialah satu bakat. Kita tak perlu bakat seperti itu dimasukkan sebagai bahagian wajib dalam kurikulum di sekolah,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Malaysiakini.

Rafidah yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi juga dilaporkan berkata, beliau telah menghantar pesanan teks kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi menyuarakan pandangannya terhadap perkara itu.

Utusan Online sedang menghubungi Rafidah bagi mendapatkan respons untuk mengesahkan laporan tersebut.

Isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Namun pada minggu lalu, Kementerian Pendidikan menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.