Lima ditahan dipercayai samun pelajar

Spread the love

Empat lelaki dan seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat menyamun seorang pelajar warga Afrika di kawasan sekitar Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kejadian samun itu berlaku pada pukul 3.45 pagi kelmarin di kawasan taman perumahan SS14/4 Subang Jaya, dekat sini.

“Ketika kejadian, empat suspek lelaki yang bersenjatakan spanar pembuka tayar telah melarikan mangsa untuk menyamunnya dengan menggunakan sebuah kereta Proton Inspira.

“Bertindak atas maklumat, dua buah Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya mengesan kenderaan tersebut sebelum mengejarnya dari kawasan SS14/4 hingga ke Mid Valley,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Risikin, suspek berjaya melarikan diri selepas dikejar dan telah meninggalkan mangsa di tepi Jalan Tamarind, Taman Selatan Klang, Selangor serta mengambil sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM26 milik mangsa.

Jelasnya, hasil risikan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Subang Jaya bersama Bahagian Operasi Khas (D8) Kontinjen Selangor berjaya mengesan suspek di Taman Bayu Tinggi, Klang, Selangor pada semalam.

“Serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu telah menahan tiga lelaki lingkungan umur 21 hingga 26 tahun serta seorang wanita berusia 20-an dan merampas telefon bimbit, beg silang, kereta Proton Inspira dan spanar yang dipercayai digunakan ketika menyamun.

“Serbuan kedua pada pukul 1.30 pagi semalam di sebuah rumah kedai di Jalan Teluk Pulai, Klang, Selangor dan menahan dua lelaki berusia 19 dan 26 tahun serta merampas sebuah telefon bimbit,” katanya.

Risikan memberitahu, empat dari suspek yang ditahan memunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 394, 148, 420, 182, 380, 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Tambahnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, 397, 363 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.