‘Musuh Islam takut apabila Pas, UMNO bersatu’

Spread the love

Perpaduan antara Pas dan UMNO menjadi keperluan pada masa ini, iaitu ketika agama Islam dilihat semakin terancam.

Justeru, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berharap usaha ke arah kerjasama kedua-dua parti terbesar orang Melayu Islam itu direalisasikan dalam berhadapan situasi semasa yang menyaksikan Islam mula digugat.

Katanya, apabila Islam bersatu akan menyebabkan pihak-pihak tertentu yang cuba menghapuskan Islam ini berasa gentar.

“Mereka cuba mempertikaikan apa jua perkara berkaitan Islam dan situasi itu dilihat semakin serius pada masa ini. Kita harap orang Islam sentiasa berhati-hati menentang sebarang gerakan yang cuba menghapuskan Islam ini.

“Di saat ini adalah menjadi keperluan untuk kita bersatu. Perpaduan Pas dan UMNO ini perlu diusahakan bersungguh-sungguh supaya kerjasama ini menjadi.

“Apabila Islam bersatu, kita ada kekuatan seterusnya musuh akan fikir dua tiga kali sebelum melakukan sesuatu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, perkembangan piagam antara Pas dan UMNO berjalan lancar dan berharap pelaksanaannya nanti berlaku dengan lancar.

“Saya percaya kerjasama ini akan berjalan lancar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Kerjasama ini diyakini akan memastikan kita mampu menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.