Solidariti tak berbelah bahagi untuk Zakir Naik

Spread the love

Kerajaan Pas Kelantan menjemput Dr Zakir Naik ke negeri ini sebagai tanda solidariti kepada pendakwah antarabangsa itu yang berhadapan pelbagai tohmahan dan cabaran daripada pihak yang tidak sukakannya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tribulasi yang dihadapi Zakir adalah perkara lumrah dalam kerja dakwah sejak dari zaman para nabi lagi.

Beliau berkata, pihak yang berniat jahat akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan reputasi pendakwah ini kerana takutkan kebolehannya menyampaikan Islam melalui bukti dan hujah yang kemas.

“Kita rasa gembira diberi peluang dapat bersama Zakir, program ini dibuat bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi, beliau diserang pihak yang cuba menjatuhkan imejnya kerana tidak suka dengan pencapaian dan kebolehannya menjelaskan Islam kepada masyarakat dunia.

“Ini adalah perkara biasa, musuh-musuh Islam apabila mereka tidak dapat menentang maka mereka cari jalan tidak bermaruah untuk menghalang penyebaran dakwah.

“Seperti berlaku dalam kisah Nabi Ibrahim yang berhadapan dengan Namrud dan pengikutnya yang tidak dapat berhujah mengapa mereka menyembah berhala, akhirnya Namrud mengguna kuasa mengarah supaya Nabi Ibrahim dibakar supaya ‘Tuhan’ mereka dibela, begitu juga ketika orang Quraisy melakukan pelbagai perkara ke atas Nabi Muhammad apabila mereka tidak dapat halang penyebaran Islam,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Ceramah Eksekutif sempena program Jelajah Dakwah Dr Zakir Naik Ke Kelantan 2019 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 penjawat awam negeri dan Persekutuan hadir ke program itu bagi mendengar ceramah Zakir bertajuk Salah Faham Tentang Islam yang diikuti dengan sesi soal jawab.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, kepelbagaian gaya dakwah diperlukan untuk memastikan agama Islam sampai kepada semua pihak.

“Dakwah bukan bermakna (gaya) lemah lembut semata-mata kalau tidak takkan ada perang dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad sendiri terlibat dalam perang sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali.

“Nabi Ibrahim memecahkan berhala, kalau dibuat sekarang dengan konsep rahmatan lilalamin sudah tentu nampak ekstrim tetapi itu pendekatan terbaik pada waktu itu untuk menyedarkan masyarakat.

“Ada masa kita memang perlu lemah lembut, tetapi ada masa kita perlu menunjukkan sikap kita khususnya pada zaman ini ketika orang mencabar dan menghina Islam secara terbuka, tanggungjawab ini untuk menyampaikan Islam perlu dipikul semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.