Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.2030/2080 berbanding dolar AS daripada 4.2020/2060 semalam.

Yuan China dilaporkan turun ke paras terendahnya berbanding dolar AS sejak awal 2008, dan semenjak pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mula memperkatakan tentang mengenakan tarif ke atas eksport China pada awal 2018, mata wang itu telah merosot kira-kira 10 peratus.

“Penurunan berterusan nilai yuan China bagi meningkatkan eksportnya dan prospek pertumbuhan perlahan ekonomi negara itu boleh memberi kesan negatif kepada mata wang serantau termasuk ringgit,” kata peniaga itu.

Sementara itu, Rakan Urusan VM Markets Pte Ltd Stephen Innes berkata ramai yang masih skeptikal dengan keikhlasan kenyataan Trump atau walaupun sekiranya pihak China bersedia untuk memulakan semula rundingan.

“Pengelakan risiko masih menjadi trend memandangkan pertikaian perdagangan belum lagi mereda, membayangkan sebarang pemulihan aset berisiko akan menjadi sangat mudah terjejas,” kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0250/0291 daripada 3.0263/0303 pada Selasa tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.9741/9799 daripada 3.9728/9777.

Berbanding pound British, ringgit susut kepada 5.1609/1674 daripada 5.1542/1612 tetapi naik sedikit berbanding euro kepada 4.6599/6663 daripada 4.6667/6729 sebelumnya. – BERNAMA