Melayu perlu ubah sikap, rebut peluang kerja – Dr Mahathir

Spread the love

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa orang Melayu tidak boleh menganggap diri mereka tuan di negara sendiri sekiranya mereka miskin dan terus bergantung kepada belas kasihan orang lain.

Dr Mahathir menegaskan mereka perlu merebut peluang pekerjaan yang kini banyak dipegang oleh orang asing.

“Ada yang dakwa orang Melayu adalah Tuan. Tuan apa Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, Tuankah” kata perdana menteri dalam catatan bertajuk ‘Tak Bekerja’ di laman blognya, Chedet.

“Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing.

“Dan orang asing pun membanjiri negara kita. Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan nasib kaum Melayu hanya akan ditentukan mereka sendiri.

“Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesaikan masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah namun jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata sewaktu zaman mudanya di Alor Setar di zaman British, timbul keinginan melihat orang Melayu berniaga dan dibina Pekan Rabu yang membolehkan orang kampung menjual sedikit sebanyak pisang, buah-buahan serta bakul dan raga anyaman mereka.

“Perniagaan mereka tidak menjadi besar. Mereka berniaga secara sambilan. Mereka tidak berniat pun untuk membesarkan perniagaan, setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itu sahaja,” katanya.

Ketika itu, katanya, orang Melayu berasa senang kerana kerja berat, kotor dan berbahaya serta perniagaan dilakukan orang asing dan mereka tidak berasa khuatir sedikit pun dengan kekayaan dan kemajuan orang asing ini.

“Kepercayaan mereka ialah negeri mereka kekal sebagai milik mereka. Itu yang saya lihat….tetapi anggapan mereka meleset. Kerana mereka tidak sanggup bekerja kuat, tidak sanggup berniaga secara serius mereka terus miskin.

“Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.