Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, semua sedia maklum

mempromosikan produk bumiputera bukan bermaksud memboikot produk bukan Islam sebaliknya bertujuan bagi membangkitkan semangat bersaing secara sihat.

Malah katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah memberikan teguran bahawa Melayu bekerja tidak sekuat kaum lain.

“Jadi, memandangkan komposisi kaum dalam negara ini didominasi oleh Melayu dan bumiputera iaitu 70 peratus maka kami terpanggil untuk menyahut teguran Perdana Menteri dengan memperkasakan ekonomi Melayu dan bumiputera melalui promosi produk-produk milik kami.

“Sudah puluhan tahun Melayu dan bumiputera membantu ekonomi bukan Islam. Kini kami hendak bantu bumiputera pula. Oleh kerana Perdana Menteri suruh Melayu berdikari, maka

adakah menjadi satu kesalahan apabila Melayu membantu Melayu dalam meningkatkan penglibatan dalam industri peruncitan serta perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataannya baru-baru ini mahu UMNO dan Pas membantu menghentikan kempen memboikot produk bukan bumiputera kerana gerakan itu tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Katanya, kempen itu bukan hanya akan menjejaskan perpaduan negara tetapi boleh menyebabkan pengguna memboikot produk yang lebih baik dan murah.

Fathul Bari seterusnya menarik perhatian pada 2012, Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bangsa Cina di Malaysia adalah pembayar cukai yang terbesar dan sekaligus disimpulkan bahawa kaum berkenaan adalah penyumbang utama kepada pendapatan negara.

“Jadi, apa masalahnya jika kami ingin mempromosikan produk bumiputera supaya bumiputera juga boleh menjadi penyumbang besar kepada pendapatan negara? Kenapa kamu (Guan Eng) dan DAP dengki?,” soalnya.- UTUSAN ONLINE