Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis kelmarin berhubung kejadian cubaan pecah rumah di Taman Sri Gombak di sini.

“Menurut pengadu, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.55 pagi sewaktu dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh bunyi bising di luar rumah.

“Pengadu kemudiannya melihat kamera litar tertutup (CCTV) dan terlihat dua lelaki bertopi keledar sedang cuba memecah masuk dengan menendang dan memecahkan kaca di pintu masuk utama rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Arsad, kedua-dua lelaki berkenaan seterusnya bertindak melarikan diri sebaik terdengar jeritan pengadu dari dalam rumah.

“Susulan kejadian itu, pihak polis telah berjaya menangkap kedua-dua suspek hari ini dan semalam masing-masing di sekitar Batu Caves  serta Gombak.

“Mereka yang ditahan adalah seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan seorang lelaki warga Thailand berusia 24 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Arsad berkata, semakan yang dilakukan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan turut terlibat dalam lima kes samun yang dilaporkan pada hari sama.

“Sewaktu tangkapan dilakukan, pihak polis turut berjaya merampas beberapa barangan seperti sebuah televisyen, barangan kemas, kasut dan baju, serta sebuah motosikal jenis Honda EX-5 yang telah dilaporkan hilang di Selayang sebelum ini.

“Kedua-dua suspek kini direman enam hari sehingga 20 September depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 dan 427 Kanun Keseksaaan,” tegas beliau.

Terdahulu, satu rakaman CCTV berdurasi 1 minit 31 saat tular di laman sosial Facebook yang menunjukkan aksi dua lelaki bertopi keledar cuba memecah masuk ke dalam sebuah rumah dengan menendang dan mengetuk pintu utama rumah terbabit.

Kedua-dua lelaki tersebut bagaimanapun berputus asa dan bertindak melarikan diri tidak lama kemudian. – K! ONLINE