Jakarta mengerahkan beribu-ribu petugas untuk memadamkan api yang memusnahkan hutan di Sumatera dan Kalimantan di mana ribuan sekolah turut ditutup kerana faktor kesihatan.

Semalam, pihak berkuasa menyatakan, seramai 185 orang diberkas kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pembakaran hutan.

“Polis Indonesia menguatkuasakan undang-undang terhadap sesiapa yang dibuktikan membakar tanah dan hutan, sama ada perbuatan itu dise­ngajakan atau kerana kecuaian,” kata jurucakap Polis Nasional, Dedi Prasetyo kepada pemberita di Jakarta.

Pada minggu lalu, Indonesia menu­tup berpuluh-puluh ladang di mana kebakaran hutan berlaku dan memberi amaran kepada pemiliknya termasuk firma berpangkalan di Malaysia serta Singapura bahawa mereka akan berdepan dakwaan jenayah jika terbukti melakukan pembakaran haram.

Jerebu tebal di Kalimantan turut mengakibatkan kira-kira 12 penerba­ngan dibatalkan kelmarin, kata syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda, manakala pesaingnya, Rival Lion Air menyatakan bahawa sekitar 160 penerbangan melibatkan Kalimantan terjejas.

Sementara itu, hampir 150,000 orang dirawat kerana masalah pernafasan akut berkaitan jerebu. – AFP