Reds memulakan kempen mempertahankan gelaran Eropah dengan bertandang ke Naples menentang skuad bimbingan Carlo Ancelotti yang juga merupakan lawan mereka pada pertandingan itu, musim lepas.

Anak-anak buah Klopp tewas 0-1 dalam perlawanan di Stadium San Paolo, tetapi mereka menang menerusi jumlah jaringan sama di Anfield dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang menyaksikan Liverpool layak ke saingan 16 terbaik, sebelum meneruskan kemaraan dengan menjuarai pertandingan tersebut.

Origi terpaksa dibawa keluar dalam babak pertama sewaktu Reds melakar kemenangan 3-1 ke atas Newcastle, hujung minggu lalu, selepas merehatkan Roberto Firmino.

“Malang sekali, Div terseliuh buku lalinya dalam perlawanan itu dan terpaksa dibawa keluar. Kami semua berharap kecederaan itu tidak serius. Melihatkan dia boleh meneruskan permainannya, ia menjadi petanda kecederaan yang dialami tidaklah seteruk mana,” kata Klopp selepas perlawanan tamat.

Ekoran kecederaan yang menimpa Origi, Brewster dipilih menggantikan penyerang itu hanya selepas 15 minit skuad bawah-23 tahun Liverpool beraksi menentang Derby County yang turut dilangsungkan pada masa yang sama.

“Semua pemain ditimpa kecederaan ringan termasukkah Robbo (Andy Robertson), Sadio (Mane), tetapi mereka berada dalam keadaan baik,” ujar Klopp. – AGENSI

Skuad Liverpool:

Fabinho, Virgil Van Dijk, Georginio Wijnaldum, Dejan Lovren, James Milner, Roberto Firmino, Sadio Mane, Mohamed Salah, Joe Gomez, Adrian, Jordan Henderson, Alex Oxlade-Chamberlain, Adam Lallana, Lonergan, Xherdan Shaqiri, Rhian Brewster, Andy Robertson, Joel Matip, Caoimhin Kelleher, Trent Alexander-Arnold.

Utusan Malaysia