SpongeBob SquarePants dianggap ganas di Indonesia

Spread the love

JAKARTA – Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) mengeluarkan surat amaran kepada stesen televisyen tempatan, GTV pada 5 September lalu kerana menyiarkan filem The SpongeBob SquarePants Movie, lapor akhbar The Jakarta Post kelmarin.

Dipaparkan di laman web KPI, surat itu menyatakan, penyiaran filem tersebut dianggap melanggar kod etika (P3) dan standard program (SPS).

Filem yang disiarkan pada pukul 11.14 pagi (waktu tempatan) , 6 Ogos lalu (waktu tempatan) menerusi program Big Movie Family GTV itu dikatakan mengandungi aksi ganas seperti memukul muka dengan kayu, menjatuhkan bola boling di atas kepala, melontar penukul ke muka dan membaling pasu kaktus menggunakan raket.

Ia disiarkan semula pada 22 Ogos lalu, pukul 3.02 petang di GTV.

KPI menganggap filem itu melanggar Artikel 14 P3, yang menyatakan bahawa unit penyiaran mesti mematuhi kepentingan kepada kanak-kanak dalam semua aspek penyiaran.

Sebuah siri animasi televisyen yang popular di Amerika Syarikat (AS), The SpongeBob SquarePants mengisahkan pengembaraan SpongeBob SquarePants dan rakan-rakannya di sebuah kejiranan fiksyen di dasar laut, Bikini Bottom.

Mula disiarkan pada tahun 1999, siri itu dijadikan filem, The SpongeBob SquarePants Movie pada 2004. Filem keduanya, The SpongeBob Movie: Sponge Out of Water disiarkan pada 2015 sementara filem ketiga dijadualkan pada 2020.

Surat kepada GTV oleh KPI itu merupakan antara amaran yang dihantar terhadap 14 program televisyen lain.

Portal Kompas.com melaporkan bahawa Timbalan Ketua KPI, Mulyo Hadi Purnomo berkata, suruhanjaya itu hanya menghantar surat amaran.

“Menurut undang-undang, hanya surat amaran diberikan kerana ia merupakan kesalahan kali pertama,” katanya.

Berserta filem itu, KPI juga menghantar surat amaran terhadap Trans 7, ANTV, TV One, Metro TV, Trans TV dan stesen radio Gen FM kerana menyiarkan program yang dianggap tidak bersesuaian. – Agensi

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.