Demam babi Afrika: tentera Korea Selatan keluarkan arahan tembak bila nampak Babi Hutan

Spread the love

SEOUL, 4 Okt — Tentera Korea Selatan telah mengeluarkan arahan tembak bila nampak babi hutan yang melintasi Zon Bebas Tentera (DMZ) kepada pasukan keselamatan itu yang mengawal kawasan sempadan sebagai sebahagian usaha mengekang penularan demam babi Afrika, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber kerajaan pada Jumaat.

Langkah itu diambil selepas virus penyakit berjangkit haiwan itu dikesan pada bangkai seekor babi hutan di dalam kawasan DMZ, kira-kira 1.4 kilometer di utara sempadan selatan DMZ pada awal minggu ini.

Sejumlah 13 kes demam babi Afrika telah disahkan setakat ini sejak penularan pertamanya di negara itu dikesan bulan lepas.

“Bagi mengelak pertembungan yang tidak disengajakan dengan pihak Korea Utara disebabkan tembakan kami, kami juga telah memaklumkan mereka mengenai keputusan kami,” kata sumber itu.

Demam babi Afrika tidak menjejaskan manusia namun ia amat berbahaya kepada babi.

Pada masa ini tiada vaksin atau penawar bagi penyakit itu. Sejak ia menular di China pada Ogos tahun lepas, penyakit itu telah merebak ke negara jiran termasuk Mongolia dan Vietnam.

Penularan wabak itu di Korea Selatan berlaku kira-kira empat bulan selepas Korea Utara melaporkan kes pertamanya di sebuah ladang ternak berhampiran sempadannya dengan China kepada Pertubuhan Dunia bagi Kesihatan Haiwan.

Masih tidak jelas di laluan mana penyakit itu merebak ke Korea Selatan.

Tentera berkata tidak mungkin babi hutan di DMZ boleh melewati pagar dawai berduri yang berada di sepanjang garisan had selatan.

Bagaimanapun kemungkinan pergerakan haiwan itu merentasi sempadan telah dibangkitkan kerana sebahagian struktur pagar boleh jadi rosak disebabkan cuaca buruk seperti taufan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.