Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tetap dengan pendirian agar kerajaan mencari sistem percukaian lebih baik yang tidak membebankan rakyat terutamanya dari sudut Islam.

Menurut beliau, cadangan memperkenalkan sistem cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham harus diambil kira oleh kerajaan bagi menggantikan sama ada GST atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diguna pakai ketika ini.

“Dalam kaedah Islam, cukai perlu diambil daripada orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin. Pas telah kemukakan cadangan ini iaitu cukai bagi golongan kaya seperti cukai korporat dan cukai transaksi saham yang mana mereka mempunyai harta berbilion ringgit tetapi tidak dikenakan cukai.

“Kita patut mengambil mekanisme percukaian itu dan bukannya mengenakan cukai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Muttahidah 1.0 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan semula GST jika itu merupakan kehendak rakyat.

Sebelum itu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan supaya memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bahawa gelaran kafir harbi atau kafir zimmi kepada masyarakat bukan Islam di negara ini tidak wajar digunakan sebagai langkah ke belakang.

“Saya rasa istilah itu diterima oleh semua ulama, mengapa tiba-tiba kita nak buang perkara yang telah disepakati kerana mahu pakai atau tidak itu perkara nombor dua.

“Tak boleh dihapuskan dan anggap Malaysia ini istimewa serta tiada istilah tersebut. Islam hanya bertindak kepada penentangnya dan kepada yang (bukan Islam) hidup aman damai tidak lagi dianggap kafir harbi,” katanya. -UTUSAN ONLINE