PRK Tanjung Piai, BN menang walaupun letak calon UMNO atau MCA

Spread the love

Barisan Nasional (BN) bakal beroleh kemenangan walaupun meletakkan calon UMNO atau MCA bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, November ini.

Menurut kajian Gerakan Pengundi Sedar (GPS), bezanya BN akan menang dengan majoriti besar jika meletakkan calon Melayu dari UMNO dan memperolehi majoriti kecil sekiranya MCA bertanding.

Ketua Data dan Kajian GPS, Arif Anwar Lokmanol Hakim berkata, kajian yang dilakukan pihaknya itu berdasarkan 382 responden pengundi di Tanjung Piai menggunakan teknik persampelan rawak berstrata, iaitu kadar ralat sebanyak lima peratus.

Perbezaan pengundi tegar BN jika UMNO bertanding adalah sebanyak 14,292 undi, berbanding jika MCA bertanding sebanyak 9,619 iaitu perbezaan sebanyak 4,673 undi.

Dengan memasukkan juga data pengundi Melayu sebanyak 30,511 orang serta pengundi Cina 22,482 orang, maka dalam kedua-dua simulasi ini, BN tetap menang cuma majoriti berkurangan jika MCA bertanding,” katanya menerusi kenyataannya semalam.

Jelas beliau, kajian itu hanya dapatan awal GPS untuk melihat sentimen pengundi terhadap parti.

Katanya, pihaknya tidak memasukkan elemen lain seperti faktor calon, kempen yang berkesan, pemberian ‘gula-gula’ dari kerajaan, faktor kerajaan menghantar calon lain, selain PPBM dan sebagainya.

“Pengundi Parlimen Tanjung Piai khususnya akan mengetahui calon masing-masing pada 2 November ini.

“Pakatan Harapan (PH) kemungkinan besar meletakkan calon PPBM, manakala pembangkang masih berteka-teki sama ada mahu meletakkan calon MCA atau UMNO,” katanya.

Menurut Arif Anwar, pasukan GPS telah turun ke lapangan pada 28 dan 29 September lalu untuk membuktikan siapa layak bertanding dari komponen BN.

NGO itu melakukan penyelidikan mengikut demografi Parlimen berkenaan iaitu 57 peratus Melayu dan 42 peratus Cina dengan 382 responden melibatkan DUN Kukup (60 peratus Melayu, 38 peratus Cina) dan DUN Pekan Nanas (54 peratus Melayu, 45 peratus Cina).

“Soal selidik ini kami lakukan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata iaitu kadar ralat sebanyak 5 peratus, dan kajian ini memfokus pada dua bangsa teramai iaitu Melayu dan Cina kerana mereka menjadi penentu di Tanjung Piai.

GPS turut memaparkan dua sentimen pengundi Melayu mengikut situasi masing-masing iaitu situasi 1, UMNO (55 peratus), PPBM (17 peratus), tidak pasti (28 peratus), manakala situasi 2; MCA (24 peratus), PPBM (33 peratus), tidak pasti (43 peratus).

Perangkaan itu, ujar beliau melibatkan jika BN meletakkan UMNO dan MCA.

“Jika kita lihat beza antara dua perangkaan itu, penyokong pembangkang di kalangan Melayu berkurangan dari 55 peratus kepada 24 peratus iaitu penurunan 31 peratus, manakala pengundi atas pagar meningkat 15 peratus dari 28 peratus kepada 43 peratus.

“Apa yang menarik melihat peningkatan 16 peratus yang sanggup mengundi PPBM. Ini apa yang kita panggil undi protes, iaitu penyokong pembangkang yang sanggup mengundi kerajaan apabila calon yang dikehendaki tidak bertanding,” katanya.

Bagi sentimen pengundi Cina pula, katanya, terdapat dua situasi iaitu pertama, UMNO (28 peratus), PPBM (16 peratus), tidak pasti (56 peratus), manakala situasi kedua, MCA (62 peratus), PPBM (7 peratus) dan tidak pasti (31 peratus).

Bagi pengundi Cina, sokongan untuk kerajaan menurun dari 62 peratus kepada 28 peratus, dan pengundi atas pagar meningkat dari 31 peratus kepada 56 peratus jika UMNO menghantar calon.

Bagaimanapun, perhatian harus diberikan kepada undi protes kerana dalam kes itu pengundi Cina kurang dari Melayu iaitu hanya 9 peratus. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.