Menurut Anwar, penganjur telah menghantar jemputan pada petang Sabtu dan ketika itu beliau berada di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Saya dapat jemputan itu lambat sangat, petang sebelum itu. Saya di Negeri Sembilan masa itu, di Port Dickson.

“Pada mulanya memang tak dijemput, apabila saya tanya, penganjur mengatakan parti pelbagai kaum tak dijemput, kemudian jemput juga tapi petang itu saya di Port Dickson,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Anwar, beliau hanya mengetahui mengenai jemputan lewat itu daripada isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Azizah telefon memberitahu wakil kongres minta saya hadir, tapi sudah lambat. Saya ada program di Negeri Sembilan,” katanya.

Kongres Maruah Melayu yang berlangsung semalam dihadiri pelbagai wakil parti politik termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan UMNO diketuai Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kepada media, pihaknya tidak menerima jemputan daripada pihak penganjur Kongres Maruah Melayu untuk Anwar. – UTUSAN ONLINE